PRN: 10 pengajaran perkasa pilihan raya demokratik


G Manimaran

PRN sekali lagi menunjukkan kuasa dan hak yang digunakan dengan penuh tanggungjawab boleh membawa kepada landskap pilihan raya lebih baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2023.

SEKALI lagi Menteri Besar Kedah sementara Muhammad Sanusi Md Nor mencuri perhatian ramai. Beliau terus menunjukkan skilnya dalam menguasai liputan media termasuk di media sosial yang dilaporkan menjadi antara faktor penentu hasil akhir pilihan raya umum di enam negeri Sabtu lalu.

Sanusi selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang dilantik Mac lalu cukup pandai dalam menyusun strategi untuk kekal popular dalam media.

Tidak ramai ahli politik boleh bertindak begitu. Beliau tahu ‘nilai berita’ yang media mahukan.

Dan yang terakhir mengikut laporan media beliau dikatakan menunjukkan kertas undi yang dipangkah sebelum dimasukkan ke dalam peti undi.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ada menggariskan peruntukan yang boleh menentukan sama ada tindakan itu satu kesalahan ataupun sebaliknya sama ada melanggar aspek kerahsiaan undi. Tindakan beliau mendapat reaksi yang pelbagai.

Saya yakin beliau bertindak sedemikian dengan tujuan tertentu. Beliau sudah pun membuat segala perkiraan sebelum menunjukkan kertas undi. Beliau tahu akan batasan undang-undang sedia ada.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu ada seorang calon yang kemudiannya menang piluhan raya dilaporkan memasuki pusat mengundi dengan mengenakan lambang parti. Tetapi tidak ada tindakan dikenakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam reaksi segera Ketua Polis Negara Razarudin Husain menegaskan tindakan menunjukkan kertas undi yang sudah dipangkah kepada umum adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Polis, menurut beliau akan menjalankan siasatan sekiranya ada pihak yang tampil membuat laporan terhadap kes terbabit tetapi setakat pukul 6 petang Sabtu lalu iaitu setakat proses pengundian ditutup belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan berhubung perkara itu. “Sekiranya ada laporan kita akan siasat,” kata beliau. Itu pendirian polis.

Persoalan seterusnya ialah adakah perlu ada laporan polis dibuat. AtaupunSPR sebagai badan tunggal pengurusan pilihan raya boleh terus mengambil tindakan tanpa menunggu siasatan pihak berkuasa polis. Ataupun pihak lawan boleh mengemukakan petisyen pilihan raya untuk didengar oleh mahkamah khas.

Di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 khususnya mengenai soal “memelihara kerahsiaan dalam pilihan raya’, subseksyen (3) berbunyi: “Tiada pegawai, kerani, jurubahasa, calon, ejen, pegawai polis atau orang yang dibenarkan itu dan tiada seorang jua pun boleh di tempat mengundi cuba mendapatkan maklumat tentang calon yang akan atau telah diundi oleh mana-mana pengundi di tempat itu atau pada bila-bila masa menyampaikan apa-apa maklumat yang didapati di sesuatu tempat mengundi tentang calon yang akan atau telah diundi oleh mana-mana pengundi di tempat itu kepada mana-mana orang atau tentang nombor kertas undi yang diberikan kepada mana-mana pengundi di tempat itu.” Adakah peruntukan sudah cukup untuk diambil tindakan?

Kedua trend keluar untuk mengundi dalam pilihan raya sudah mencetuskan sayu kebimbangan dan kerisauan yang serius tentang minat untuk pengundi keluar mengundi pada masa-masa akan datang.

Negara kini berhadapan dengan situasi hambar dan lesu di dalam kalangan pengundi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi yang berhak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Purata keluar mengundi dalam lingkungan 70 peratus sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan Langkah Sheraton pada Februari 2020 meletakkan kita dalam persoalan penting untuk dikupas oleh setiap pemegang taruh.

Perangkaan SPR menunjukkan Kedah mencatatkan 73.86 peratus keluar mengundi, Kelantan (60.96%), Terengganu (74.79%), Pulau Pinang (72.67%), Selangor (72%) dan Negeri Sembilan (68.35%).

Angka-angka ini merupakan peratusan keluar mengundi bagi setiap negeri. Sesetengah kerusi mencatatkan kadar yang lebih rendah berbanding purata negeri. Pada masa yang sama ada juga kerusi mencatatkan kadar yang tinggi berbanding purat negeri.

Apapun hampir dua per lima mengambil pendirian tidak mahu keluar mengundi. Mengambil kira setiap undi adalah penting, peratusan keluar mengundi perlu lebih tinggi berbanding hanya sekitar 70 peratus.

Dalam PRU15 yang berlangsung pada 19 November lalu sekitar enam juta orang tidak keluar mengundi, pilihan raya pertama selepas Dasar Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik diperkenalkan.

Ada kerusi yang majoritinya dalam dua digit dan banyak juga dalam tiga digit. Bermakna setiap undi mempunyai nilai dalam menentukan kemenangan dan mandat yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Ketiga, bertolak daripada kadar peratusan yang belum cukup memuaskan dan membanggakan di sebalik penyediaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik, apakah kita kekurangan ruang dan peluang yang lebih mesra, mudah dan berkesan untuk pengundi keluar mengundi, sekali gus menunaikan hak mereka?

Di sebalik persekitaran yang dibayangi ledakan teknologi maklumat dan kos sara hidup yang semakin tinggi serta kewujudan pelbagai cabaran sosioekonomi seperti pandemik dan wabak dari semasa ke semasa, kita perlu memikirkan pendekatan yang memudah cara proses pengundian.

Negara perlu memikirkan cara yang lebih kondusif untuk keluar mengundi tidak kira di mana mereka berada. Adakah ia boleh dilakukan, saya pasti boleh. Cuma, nampaknya, kita belum ada iltizam politik yang cukup besar dan bebas demi kepentingan negara.

Keempat, apabila pilihan raya (PRN) bagi enam negeri diadakan, ramai beranggapan pilihan raya diadakan semula dalam tempoh tidak sampai satu tahun.

Sesetengah pengundi beranggapan undi mereka pada November sudah tidak bernilai dan mandat mereka sudah tidak dihargai sekali lagi.

Keadaan kecewa yang dialami dan disaksikan pada tahun 2020 susulan peristiwa politik Langkah Sheraton dan perubahan tiga perdana menteri dalam tiga tahun menyebabkan pengundi bosan dengan pilihan raya dan politik negara.

Kelima kempen pilihan raya yang hambar dan tidak cukup bertenaga untuk menarik pengundi keluar mengundi juga perlu diberi perhatian.

Pada masa yang sama sempadan isu-isu yang boleh dibangkitkan, termasuk penggunaan bahasa yang kurang sopan semasa berkempen perlu dilihat semula dengan memantapkan lagi peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya dan kod etika berkempen yang disediakan oleh SPR.

Calon dan parti politik perlu lebih profesional dalam mengetengahkan isu dengan mengutamakan integriti dan budaya berpolitik lebih tinggi dengan berpegang kepada pendirian bahawa “kuasa politik dan jawatan hanyalah bersifat sementara, kepentingan negara dan rakyat perlu diutamakan”.

Keenam kuasa dan autoriti SPR perlu diperkasanakan sebagai pengurus penjalanan pilihan raya. SPR perlu ada lebih banyak kuasa untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang pilihan raya.

SPR perlu diberi kuasa dan kelihatan mempunyai lebih kuasa dan bertindak dengan penuh autoriti dalam menyempurnakan fungsi nombor tiga iaitu “menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan”.

Sekali lagi landskap pilihan raya menunjukkan SPR belum cukup taring dalam menunaikan fungsinya dengan efektif. SPR perlu disediakan dengan segala kerangka perundangan yang lengkap untuk menjadi sebuah badan yang berkesan, disegani dan dihormati.

Ketujuh, perlu ada usaha besar-besaran untuk meningkatkan literasi politik dan pilihan raya. Kita sedang berhadapan dengan norma baharu pilihan raya.

Kita akan menyaksikan pilihan raya setiap tahun selepas ini, yang mana kita sudah saksikan sejak tahun 2020. PRN mengejut Sabah pada September 2020, diikuti dengan PRN Melaka dan Sarawak pada tahun 2021, Johor dan PRU15 (termasuk PRN Perlis, Pahang dan Perak) pada tahun 2022 dan pada Sabtu lepas melibatkan enam PRN.

Rakyat perlu diberikan literasi perbezaan antara pilihan raya umum bagi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dan begitu juga kepentingannya dalam kehidupan setiap rakyat.

Pilihan raya dan politik tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan setiap orang. Ia adalah asas kepada kehidupam setiap daripada kita.

Kelapan mengadakan PRN dan Parlimen secara berasingan dikatakan membebankan pengundi dan parti politik, selain didakwa sebagai satu pembaziran.

Maka, wajarkah kita memikirkan untuk mengadakan peruntukan “tempoh tetap mandat dewan perundangan” atau ‘fix term’ bagi mengelakkan pembubaran mengejut dan pilihan raya mengejut, serta pilihan raya berasingan.

Kesembilan kerangka perundangan berkaitan dana politik dan pilihan raya wajar disegerakan bagi mengelakkan penggunaan dana di luar kawalan dan di luar kemampuan setiap calon dan parti.

Soal rasuah dan sogokan sekali lagi mendapat perhatian sepanjang tempoh berkempen dalam PRN kali. Salah guna aset kerajaan juga dibangkitkan.

Ia pernah kita dengar sebelum ini dan terus dibawa dan dipertikaikan, dan pasti akan muncul lagi selepas ini. Kita perlu meletakkan noktah dalam isu ini.

Dan akhirnya, negara memerlukan satu kerangka perundangan pilihan raya lebih mantap dan komprehensif untuk memasukkan sekurang-kurangnya 10 prinsip pilihan raya demokratik, bebas, adil dan profesional.

Setiap pilihan raya memberikan kita pengajaran yang amat bernilai dan membina dalam menyegar dan memperkasanakan pengurusan pilihan raya agar penyertaan oleh kesemua pemegang taruh adalah lebih baik berbanding sebelum ini.

Kita tidak wajar kecewa dengan kekurangan yang wujud termasuk mereka yang tidak berintegriti, tidak bertanggungjawab dan tidak profesional.

Pengundi mengundi calon untuk memberikan mereka status sebagai “seorang wakil rakyat”. Mereka mewakili rakyat. Tidak wajar lupakan undi dan mandat yang diberikan. Ingat wakil rakyat pun rakyat jugak!

Pengundi ada kuasa. Pengundi ada lesen besar. Pengundi ada hak dan tanggungjawab untuk ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.

PRN sekali lagi menunjukkan kuasa dan hak yang digunakan dengan penuh tanggungjawab boleh membawa kepada landskap pilihan raya lebih baik. – 14 Ogos, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen