SEKURANG-kurangnya 14 orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah kampung di barat daya Republik Demokratik Congo berhampiran sempadan Angola, kata pihak berkuasa pada Sabtu.
Jurucakap kerajaan wilayah Kwango, Adelard Nkisi berkata, mangsa di Ipongi terbunuh akibat tembakan peluru dan parang.
Seorang ketua agama di kampung itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, mengesahkan jumlah korban dan berkata serangan pada hari Jumaat berikutan penahanan anggota militia baru-baru ini, yang menghantar pasukan lain untuk “membebaskan empat anggota” kumpulan mereka.
Symphorien Kwengo, seorang pemimpin masyarakat sivil di wilayah Kwango, menyalahkan pergerakan Mobondo bersenjata, yang ditubuhkan di wilayah jiran Mai-Ndombe tahun lalu.
Langkah sedang diambil untuk cuba mengawal keadaan, kata jurucakap wilayah itu.
Konflik tercetus di wilayah Mai-Ndombe pada Jun 2022 berhubung pertikaian tanah antara orang Teke dan kumpulan yang bukan berasal dari kawasan itu.
Pertempuran merebak ke wilayah jiran Kwango, Kwilu dan Kinshasa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 3,000 orang terbunuh dalam konflik antara Jun 2022 dan Julai 2023.
Kerajaan DRC meletakkan angka kematian pada 180, angka tidak berubah sejak Oktober 2022.– AFP, 13 Ogos, 2023.
Komen