AHMAD Yakob mengesahkan beliau tidak berhasrat untuk mempertahankan jawatan menteri besar Kelantan atas faktor kesihatan, sekiranya PAS sekali lagi diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada PRN kali ini.
Perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin kanan parti, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan itu kepada media selepas membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di Tumpat hari ini.
“Saya sudah dua kali jatuh dan ada ‘slipped disc’ sikit. Selain itu saya juga ada masalah jantung.
“Oleh sebab itu, saya maklum tidak mahu kekal sebagai menteri besar atas faktor kesihatan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Ahmad, 73, dilantik menjadi menteri besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi menggantikan Nik Aziz Nik Mat yang berkhidmat selama lima penggal.
Awal hari ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata keputusan menggantikan Ahmad bukan disebabkan kedudukan PAS tergugat di Kelantan, tetapi atas permintaan pesuruhjaya Pas negeri itu sendiri kerana faktor kesihatan.
“Ahmad Yakob undurkan diri kerana uzur. Dulu pun beliau merayu supaya kita lantik orang lain. Tapi kita minta beliau teruskan lagi .
“Tengah-tengah pentadbiran itu pun dia desak minta ganti atas faktor keuzuran.
“Berapa kali menteri besar terima rawatan. Jadi kali ini pertimbangkanlah, kasihan pada beliau,” katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Terengganu. – 12 Ogos 2023.
Komen