Tukar MB Kelantan bukan kerana PAS tergugat, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menafikan penukaran jawatan menteri besar di Kelantan dibuat kerana parti itu tergugat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2023.

KEPUTUSAN menggantikan menteri besar Kelantan bukan disebabkan kedudukan PAS tergugat di negeri itu, kata presiden parti Abdul Hadi Awang.

Katanya, Menteri Besar Ahmad Yakob sendiri membuat permintaan tersebut kerana faktor kesihatan.

“Ahmad Yakob undurkan diri kerana uzur. Dulu pun beliau merayu supaya kita lantik orang lain. Tapi kita minta beliau teruskan lagi .

“Tengah-tengah pentadbiran itu pun dia desak minta ganti atas faktor keuzuran.

“Berapa kali menteri besar terima rawatan. Jadi kali ini pertimbangkanlah, kasihan pada beliau,” katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Terengganu.

Hadi mengulas pengumuman mengenai pelantikan menteri besar dan timbalan menteri besar baharu sekiranya PAS berjaya mengekalkan Kelantan dalam pilihan raya negeri hari ini.

Pengumuman itu dibuat pada hari terakhir tempoh kempen semalam.

Mengulas lanjut, Hadi berkata perubahan pemimpin tertinggi dalam kerajaan negeri satu perubahan positif dan diperlukan memandangkan PAS sudah lama memerintah Kelantan.

“PAS sudah lama sangat memerintah 30 tahun – letihlah orang yang bertugas itu,” katanya yang juga presiden PAS sejak 2002.

PAS juga sudah mempunyai calon menteri dan timbalan menteri besarnya, kata Hadi yang membuang undi di Sekolah Kebangsaan Rusila di Marang pagi ini.

Beliau turut memberi jaminan calon baharu yang akan ditampilkan PAS akan diterima rakyat Kelantan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan semalam dilaporkan berkata keputusan menukar menteri besar itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat pada Rabu lepas.

PAS mengumumkan menteri besar dan timbalan baharu terdiri dari gandingan seorang tokoh agamawan dan tokoh teknokrat.

Ahmad dilantik menjadi menteri besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi menggantikan Nik Aziz Nik Mat yang berkhidmat selama lima penggal.

Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah juga dilantik ke jawatan itu selepas PRU13.

Mohd Amar dikenali sebagai pemimpin yang lebih lantang berbanding Ahmad, terutama dalam menangkis kritikan terhadap kelemahan pentadbiran Kelantan. – 12 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen