Pakatan pengkhianat terbesar bukan saya, kata Azmin


Ravin Palanisamy

Pakatan Harapan adalah pengkhianat nombor 1 rakyat sekarang, kata Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Ogos, 2023.

KERAJAAN Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) adalah pengkhianat terbesar sekarang, kata Ketua Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali.

Menjarakkan dirinya daripada label “pengkhianat”, bekas timbalan presiden PKR itu berkata PH lebih layak digelar pengkhianat kerana memperdaya rakyat dan gagal menunaikan janji mereka walaupun sudah lapan bulan berkuasa.

“Hari ini, rakyat tengok PH sebagai pengkhianat,” kata Azmin yang bertanding merebut kerusi DUN Hulu Kelang kepada wartawan di luar pusat pengundian.

“Mereka buat macam-macam janji kepada rakyat hanya untuk berkuasa.

“Mereka tamak untuk berada di Putrajaya tetapi selepas lapan bulan tidak ada satu janji pun yang dibuat mereka kepada rakyat ditunaikan. Ini pengkhianat nombor satu,” tambah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu lagi.

PH berkerjasama dengan seteru politiknya Barisan Nasional bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

Pada 2020, Azmin digelar “pengkhianat” selepas keluar PKR susulan Langkah Sheraton yang menumbangkan Pakatan Harapan di Putrajaya. Beliau kemudiannya menyertai Bersatu.

Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor menerajui kempen Perikatan Nasional untuk menakluk negeri itu, juga berkata yang Perikatan komited terhadap agenda mereka menjaga kebajikan rakyat dan akan menunaikan janjinya jika diberi mandat mentadbir negeri terkaya itu.

“Disebabkan itulah di setiap ceramah, kami ambil pendekatan tawar perkara yang boleh menjaga kebajikan dan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

“Dan tawaran yang kami buat bukan untuk kumpulan orang atau kaum tertentu Sahaja tetapi untuk semua rakyat Selangor,” katanya.

Apabila ditanya peluangnya untuk menang hari ini, Azmin berkata beliau yakin akan memperolehi majoriti besar menang di Hulu Kelang.

“Saya yakin (dapat) membentuk kerajaan baharu negeri di Selangor malam ini.

“Penduduk di Selangor mahukan pembaharuan. Ini adalah gelombang tidak puas hati yang bukan sahaja ada di Selangor tetapi juga seluruh negara.

“Dengan sokongan yang kita saksikan sejak minggu lepas, saya yakin yang kita akan memperolehi majoriti besar menang di Hulu Kelang dan banyak lagi kerusi negeri Selangor,” tambahnya.

Azmin berdepan cabaran Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli yang juga setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Sebelum PRN, Azmin adalah Adun Bukit Antarabangsa manakala Juwairiya adalah Adun Bukit Melawati.

Hulu Kelang adalah kerusi pertama dimenangi Azmin pada 1999.

Kerusi itu terletak di bawah Parlimen Gombak yang dipegang Azmin selama tiga penggal sejak 2008.

Pada PRU15 lepas, Azmin gagal mempertahankan Parlimen Gombak, ditewaskan oleh Amirudin dengan hampir 12,000 majoriti. – 12 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen