Perikatan selesai agih kerusi, umum dalam masa terdekat


Katanya pengumuman senarai calon bakal dilaksanakan dalam masa terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2022.

PENGAGIHAN kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai dibuat.

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali berkata senarai calonnya akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Pembahagian kerusi dibincangkan dengan baik dan masing-masing (parti komponen) juga gembira dengan pengagihan kerusi itu,” katanya dan menambah pengagihan kerusi itu dimuktamadkan dengan cukup harmoni.

PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Mohamed Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata Bersatu memuktamadkan calon PRU15 parti itu yang akan diumumkan dalam tempoh satu dua hari.

“Tumpuan kita untuk pilihan raya ini adalah mewujudkan gabungan kerajaan yang kuat, bersih serta dapat menjamin masa depan rakyat dan negara,’’ katanya yang juga merupakan Pengerusi PN Selangor.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-sama Komuniti di Dewan Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa hari ini. – Bernama, 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen