Muda pilihan alternatif tapi sukar bawa impak, kata penganalisis


Kehadiran Muda dalam PRN beri alternatif kepada pengundi terutamanya pengundi belia bawah 40 tahun tetapi sukar memberi kesan kepada keputusan pilihan raya berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2023.

KEHADIRAN parti Muda dalam pilihan raya negeri (PRN) memberikan alternatif kepada pengundi terutamanya pengundi belia bawah 40 tahun tetapi sukar memberi kesan kepada keputusan pilihan raya berkenaan, kata penganalisis politik. 

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Azmil Mohd Tayeb berkata penglibatan parti Muda dalam PRN ini mampu menjadi gelombang ketiga selain memberi pilihan kepada pengundi “atas pagar”.

“Trend pengundi sekarang ini, mereka (pengundi) mahukan sebuah parti yang mempunyai nilai-nilai yang memperjuangkan hak sama rata untuk semua kaum, tidak kira pengundi muda atau tua. Saya melihat Muda mampu menjadi alternatif kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Azmil berkata Muda sukar memberi saingan sengit kepada parti besar iaitu Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional kerana sistem politik di negara ini.

Dalam PRN kali ini, Muda yang dibarisi seramai 19 calon merangkumi 14 calon akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, diikuti tiga di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta Terengganu masing-masing (satu).

Menurut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, seramai 9,773,571 pengundi berdaftar di enam negeri dan daripada jumlah tersebut sebanyak 50 peratus merupakan golongan belia bawah 40 tahun.

Azmil berkata Muda yang kini membawa gerakan “politik baharu” kepada pengundi di kawasan yang ditandingi dengan memperlihatkan gabungan bersama Parti Sosialis Malaya (PSM) yang sangat dikenali dengan perjuangan hak rakyat tanpa mengambil kira bangsa dan agama.

“Mereka (Muda) nampak giat membuktikan nilai-nilai politik baharu melalui manifesto, media sosial dan ceramah. Melalui politik baharu itu juga, Muda turut mampu memberi tekanan kepada calon lain apabila parti itu tampil lebih neutral dengan idea pengisytiharan harta yang tidak dilakukan oleh mana-mana parti,” katanya.

“Muda juga mengetengahkan isu yang tidak diberi perhatian seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), hak pendidikan dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Mahadee Ismail berkata parti tersebut perlu mempunyai 5M iaitu money, machinery, social media, manifesto and manipulation (wang, jentera, media sosial, manifesto dan manipulasi) yang merupakan faktor penting sesebuah kejayaan parti politik.

“Bagi saya setiap calon yang bertanding mereka sudah ada wang yang merupakan peruntukan untuk mengerakkan kempen seperti memasang bunting, bayaran kepada jentera dan khemah untuk berkempen dan sebagainya.

“Bagi jentera pula mereka belum mempunyai akar umbi yang kuat kerana BN, PAS dan PKR mengambil berbelas tahun untuk bangunkan jentera yang kuat malah Bersatu juga belum kukuh kerana kebanyakan mereka bergantung kepada jentera-jentera PAS,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata bagi media sosial pula, Muda mempunyai kelebihan kerana parti itu sendiri berkembang melalui media sosial dalam membawa isu-isu rakyat mahupun menyebarkan manifesto mereka.

Mahadee berkata manifesto Muda turut merangkumi setiap lapisan masyarakat di tempat mereka bertanding namun keberhasilan manifesto tersebut bergantung kepada penyampaian parti itu. – Bernama, 11 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen