Kerajaan batal projek lapangan terbang Tioman


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek lapangan terbang Tioman akan beri impak negatif kepada alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2023.

KABINET memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan membina lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim berkata keputusan menghentikan pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu adalah selaras dengan keutamaan kementeriannya dalam pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli secara bertanggungjawab.

“Daripada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) kementerian mendapati cadangan itu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan.

“Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, namun ia akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang membawa kepada pelancongan yang tidak mampan,” kata menteri itu dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata kementerian menerima 1,412 maklum balas daripada orang ramai mengenai laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek itu, yang dipamerkan dari 21 Jun hingga 20 Julai.

Nik Nazmi berkata Pulau Tioman adalah taman marin yang dilindungi, lokasi kepada hutan hujan dara dan juga rizab hidupan liar.

“Keputusan (Kabinet) itu mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi pembangunan dan kelestarian ekologi,” katanya.

Bekas pengarah urusan Malaysia Airports Holdings Bhd Badlisham Ghazali sebelum ini berkata tiada tempat yang sesuai untuk lapangan terbang di pulau itu.

“Kerajaan sudah meneliti perkara itu beberapa kali. Masalah dengan Pulau Tioman adalah untuk mencari kawasan yang sesuai untuk membangunkan sebuah lapangan terbang yang lebih besar.

“Menambak laut hanya satu-satunya cara. Ini memerlukan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Kami tidak akan dapat kelulusan itu,” kata Badlisham dipetik sebagai berkata dalam satu laporan.

Projek tebus guna tanah boleh merosakkan persekitarannya yang asli dan menarik tentangan daripada kumpulan pemuliharaan dan komuniti nelayan tempatan.

Rancangan untuk membina lapangan terbang bernilai RM120 juta di pulau itu, yang dicadangkan pada 2003, juga ditolak oleh bekas menteri pengangkutan Ong Tee Keat enam tahun kemudian kerana faktor alam sekitar. – 9 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen