Tak cukup ruang bina lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, kata MAHB


Tiada ruang yang cukup di Pulau Tioman untuk membina sebuah lapangan terbang baharu, kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Badlisham Ghazali. – Gambar MAHB, 11 Jun, 2018.

TIADA ruang yang cukup di Pulau Tioman untuk membina sebuah lapangan terbang baharu, kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Badlisham Ghazali.

“Kerajaan sudah meneliti perkara itu beberapa kali. Masalah dengan Pulau Tioman adalah untuk mencari kawasan yang sesuai untuk membangunkan sebuah lapangan terbang yang lebih besar.

“Menambak laut hanya satu-satunya cara. Ini memerlukan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Kami tidak akan dapat kelulusan itu,” kata Badlisham kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di Kuala Lumpur, hari ini.

Pulau Tioman yang terletak di Pahang terkenal dengan keindahan terumbu karang dan pantainya. Projek penambakan tanah akan menjejaskan keaslian persikitarannya.  

Rancangan untuk membina lapang terbang bernilai RM120 juta di pulau itu pernah dibuat pada 2003, namun ditolak bekas menteri pengangkutan Ong Tee Keat enam tahun kemudian kerana faktor alam sekitar.

Minggu lalu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya Vincent Tan mengumumkan yang syarikat itu akan menghantar cadangan kepada kerajaan untuk membina sebuah lapangan terbang di Pulau Tioman bagi meningkatkan sektor pelancongan.  

Tan berkata kumpulan syarikat itu akan membiayai sendiri kos pembinaan yang dianggarkan berjumlah antara RM1.1 bilion ke RM1.2 bilion.

“Kami tidak akan membebankan kerajaan kerana saya rasa siapa sahaja yang mahu menjalankan projek infrastruktur, mereka perlulah mencari pembiayaan sendiri dan tidak hanya meminta kepada kerajaan,” kata Tan.

Berjaya Air menghentikan penerbangan pesawatnya ke lapangan terbang kecil di Kampung Tekek di pulau tersebut beberapa tahun lalu.

Pengurus Besar Pelancongan Pahang Ishak Mokhtar sebelum ini mengadu pelancong tidak dapat sampai ke pulau itu pada musim monsun dari November hingga Mac berikutan perkhidmatan feri tergendala. – 11 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen