Bersatu tiada halangan Faiz tinggalkan parti, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman hari ini umum letak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta merta. – Gambar Facebook, 7 Ogos 2023.

BERSATU tiada halangan dan menghormati keputusan ahli Majlis Pimpinan Tertingginya Muhammad Faiz Na’aman untuk meninggalkan parti, kata presidennya Muhyiddin Yassin.

Tindakan Faiz itu tidak menjejaskan Bersatu yang malah sebenarnya menerima permohonan kemasukan ahli baru setiap hari, katanya.

“Ya itulah, dia buat keputusan sendiri dan saya tak nak ulas panjang lebar. Tapi kita tak ada halangan atau sekatan.

“Yang nak masuk (Bersatu) pun ada, tiap- tiap hari,” katanya kepada media selepas program santai mesra di Kuala Nerus, hari ini.

Muhyiddin mengulas peletakan jawatan Faiz daripada MPT sekali gus berhenti daripada parti atas alasan hilang kepercayaan kepada hala tuju parti dan kepimpinannya.

Jelas Muhyiddin, sebagai pemimpin Bersatu, Faiz sepatutnya lebih faham perjuangan parti.

“Sepatutnya beliau lebih faham perjuangan kita… patut bersabar dan beristighfar, kalau ada yang tak puas hati boleh selesai secara anak beranak atau dalaman.

“Tapi tak apalah, beliau dah buat keputusan itu, kita hormat keputusan beliau,” katanya.

Awal hari ini Faiz mengumumkan sudah menyampaikan keputusan untuk letak jawatan dan keluar parti kepada Muhyiddin melalui sepucuk surat.

Keputusan Faiz dipercayai ada kaitan langsung dengan isu pemilihan calon Bersatu bagi enam pilihan raya negeri terutama Selangor.

Minggu lalu, Faiz mendakwa Perikatan Nasional (PN) mengemukakan barisan calon yang tidak ada kredibiliti sehingga menjejaskan peluang untuk mengambil alih kerajaan di Selangor.

Beliau menyifatkan barisan calon PN di Selangor sebagai “memalukan” dan “barisan untuk kalah”.

Pada Pilihan raya Umum ke-15, Faiz mewakili PN mencabar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk. – 7 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen