Faizal lapor polis dakwaan gangguan seksual


Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu membuat laporan polis ke atas seorang wanita yang menuduhnya melakukan gangguan seksual minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2023.

TIMBALAN Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu membuat laporan polis ke atas seorang wanita yang menuduhnya melakukan gangguan seksual minggu lalu.

“Saya telah membuat laporan polis hari ini, 3hb Ogos 2023 di Balai Polis Hartamas pada pukul 2.20 petang berikutan sebuah laporan polis yang tular di saluran Edisi Siasat dalam aplikasi Telegram hari yang sama pada jam 7.33 pagi tadi.

“Dalam laporan polis saya, saya telah mengesahkan tuduhan-tuduhan ini adalah tidak benar sama sekali dan saya percaya ada elemen hasutan jenayah dan fitnah terbabit dalam laporan ini,” katanya menerusi catatan yang dibuat di Facebook.

Katanya, pada hari dan waktu kejadian beliau berada di Negeri Sembilan kerana menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai timbalan presiden Bersatu.

“Ramai saksi yang boleh mengesahkan kehadiran saya,” katanya.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 37 tahun terhadap Faizal di Balai Polis Sri Hartamas pada 24 Julai dia mendakwa ahli politik itu mengganggunya secara lisan dengan kata-kata yang tidak senonoh.

Wanita itu berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi di Plaza Damas di Kuala Lumpur.

Imej laporan polis tular di media sosial.

Malaysiakini melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata pengadu telah menarik semula laporannya pada hari yang sama ia dibuat. – 3 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen