Hakim syarie disiasat gangguan seksual lapor polis Lokman Adam


Kalidevi Mogan Kumarappa

Laporan polis dibuat ke atas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam kerana memuat naik satu video dengan niat memfitnah seorang hakim yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas isteri orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

HAKIM kanan syarie yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas isteri orang sudah membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam.

Laporan polis itu dibuat kerana Lokman memuat naik satu video dengan niat memfitnah dirinya, kata peguam yang mewakili hakim berkenaan, Akberdin Abdul Kader.

Menurut Akberdin, surat tuntutan fitnah akan dikemukakan kepada Lokman esok.

“Anak guam saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Ampang pada Rabu berkaitan fitnah yang dilemparkan oleh Lokman melalui satu video yang dimuat naik pada 10 Januari.

“Surat tuntutan fitnah akan dikemukakan kepada Lokman esok dan ia akan disusuli dengan writ saman terhadap beliau di Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Akberdin, laporan polis berkenaan dibuat selepas anak guamnya menerima WhatsApp berkaitan video berkenaan yang didakwa dibuat oleh Lokman.

“Video yang dimuat naik ini sekali gus merupakan tuduhan kepada anak guam saya, yang menuduhnya telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di rumahnya,”

“Anak guam saya telah memberi kerjasama dengan polis dalam siasatan yang dijalankan dan semua pertuduhan ini bertujuan menjatuhkan anak guam saya selain merampas jawatan beliau.

“Ini bukan kali pertama cubaan untuk menfitnah anak guam saya, sebelum ini taktik sama digunakan dengan mengaitkan anak guam dengan seorang wanita lain tetapi tidak berjaya,” katanya.

Menurut beliau, Lokman sepatutnya mendengar versi kedua-dua pihak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Malangnya, dia telah mengambil tindakan sembrono dengan menuduh anak guam saya dengan begitu dahsyat sedangkan semua tuduhan itu adalah fitnah semata-mata.

“Tindakan tidak bertanggungjawab Lokman Adam telah menyebabkan klip video tersebut tersebar secara meluas sehingga menyebabkan nama, imej dan integriti anak guam saya telah tercemar dengan begitu teruk,” katanya.

Akberdin berkata, anak guamnya sudah menceritakan semua fakta sebenar kepada polis ketika memberi keterangan dan tindakan Lokman jelas berniat jahat dan berunsur fitnah jenayah.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan hakim berkenaan membuat laporan polis balas menafikan tuduhan wanita itu terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Mohamad Farouk Eshak berkata laporan balas beberapa hari selepas mangsa membuat laporan polis terhadapnya.

“Hakim itu mendakwa wanita berkenaan membuat laporan polis palsu terhadapnya. Kes masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.

The Malaysian Insight turut melaporkan semalam polis menyiasat seorang hakim kanan syariah atas dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita yang sudah berkahwin dengan berbaring dalam keadaan berbogel di dalam bilik tidurnya.

Kejadian itu didakwa berlaku Ogos 2020 dan wanita itu membuat laporan polis pada Disember.

Kejadian didakwa berlaku ketika hakim berkenaan singgah di rumah wanita itu, yang tinggal bersama suaminya yang pada masa itu terlantar sakit.

Suami wanita itu meninggal dunia Oktober 2021.

Dalam laporannya wanita itu mendakwa hakim berkenaan memohon kebenaran untuk menggunakan biliknya untuk menunaikan solat.

Hakim itu bagaimanapun terlalu lama berada di dalam bilik, dan didapati sedang tidur di atas katil dalam keadaan bogel apabila diperiksa pengadu.

Pengadu mendakwa hakim itu meninggalkan rumahnya pada jam 3 pagi dan memberitahu beliau berbogel untuk mengujinya.  – 2 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen