MEF persoal keperluan rang undang-undang anti-gangguan seksual


Memiliki undang-undang khusus mengenai gangguan seksual juga akan menampakkan imej negatif Malaysia kepada bakal pelabur, kata Presidennya Persekutuan Majikan Malaysia, Dr Syed Hussain Syed Husman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September 2021.

PERSEKUTUAN Majikan Malaysia (MEF) mempersoalkan keperluan Rang Undang-undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual yang akan dibentangkan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Parlimen tahun ini.

Presidennya, Dr Syed Hussain Syed Husman, yang juga ahli dalam projek khas RUU itu berkata, MEF berpendapat undang-undang dan peraturan yang ada bagi membendung gangguan seksual akan menjadikan peruntukan yang dicadangkan itu sebagai tidak perlu.

Syed Hussain dalam satu kenyataan menyebut, memiliki undang-undang khusus mengenai gangguan seksual juga akan menampakkan imej negatif Malaysia kepada bakal pelabur.

“Kerana mereka mungkin keliru bahawa gangguan seksual adalah masalah utama di Malaysia, padahal pada hakikatnya ia terasing dan dapat dikendalikan.”

Katanya, rang undang-undang yang dicadangkan itu tidak boleh dibentangkan terburu-buru sebelum perbincangan lebih terperinci diadakan dengan pihak berkepentingan.

“Kami telah bertemu bagi membincangkan usul RUU ini dengan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kami merasakan masih banyak masalah yang perlu diselesaikan,” katanya.

“Ada banyak perkara tidak jelas, terutama berkaitan pertindihan cadangan rang undang-undang tersebut dengan peruntukan mengenai Bahagian XVA Akta Kerja yang merangkumi tempat kerja dan hubungan majikan-pekerja,” katanya.

Beliau berkata, sudah ada peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang pekerjaan dan sivil, seperti tuntutan yang tidak berasas terhadap sebarang tindakan gangguan seksual.

Syed Hussain berkata perspektif majikan sektor swasta, Akta Kerja 1955, Kod Amalan Menghapuskan Gangguan Seksual di Tempat Kerja, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan S.20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 secara tegas mengatur setiap tindakan gangguan seksual di tempat kerja.

“Ini juga amalan biasa bagi majikan untuk memiliki dasar dan mekanisme sendiri bagi menangani aduan gangguan seksual di tempat kerja dan tiada majikan boleh bertindak sedemikian,” katanya. – 16 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen