PKR turunkan TKM Pulau Pinang, bantu Pakatan tawan Johor pada PRU14


Amin Iskandar

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohd Rashid Hasnon adalah anak jati Johor akan kembali ke negeri selatan itu untuk membantu Pakatan Harapan menang PRU14 di sana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Mac, 2018.

PKR akan menyertai sekutu mereka Bersatu, DAP dan Amanah yang akan menurunkan “gergasi” di Johor bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) dapat merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang Mohd Rashid Hasnon yang merupakan anak kelahiran Muar, Johor yakin PH berpeluang untuk mendapatkan sokongan orang-orang Melayu selepas lahirnya Bersatu.

“Dengan adanya Bersatu dibantu PKR dan Amanah, saya yakin kita dapat memberikan tentangan yang hebat.

“Saya nampak Parlimen sudah hampir pasti Pakatan akan rampas kebanyakan kerusi daripada BN, cuma untuk rampas negeri kita kena kerja keras lagi,” kata timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang itu dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.

Rashid yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak sanggup meninggalkan “keselesaan” di Pulau Pinang dalam menjayakan misi PH untuk menawan Johor.

Sumber PKR Johor memberitahu The Malaysian Insight, Rashid bakal diletakkan di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai potensi untuk menang.

Rashid bagaimanapun enggan mengesahkan kerusi DUN mana yang bakal ditandinginya pada PRU14.

“Soal kerusi, biar pimpinan parti yang buat keputusan,” katanya.

Bersatu ditugaskan untuk memimpin PH di Johor dan dibantu PKR, Amanah dan DAP.

The Malaysian Insight melaporkan sebelum ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkemungkinan besar akan bertanding kerusi Parlimen Pagoh dan salah sebuah kerusi DUN pada PRU14.

Sebagai bekas timbalan perdana menteri dan menteri besar Johor, kehadiran Muhyiddin dijangka akan memberikan tekanan hebat kepada BN di negeri kubu kuat Umno itu.

Golongan muda ke arah perubahan kerajaan negeri dan dengan sokongan mereka Pakatan Harapan akan berusaha menewaskan Barisan Nasional di kubu kuat BN itu, kata Naib Pengerusi PKR Mohd Rashid Hasnon. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Mac, 2018.

Golongan muda tunggak perubahan

Rashid yang berpengalaman dalam badan bukan kerajaan Jemaah Islah Malaysia yang kini dikenali sebagai Ikram berkata, golongan muda di Johor sudah bersedia untuk membuat perubahan.

“Dengan mood yang ada, saya yakin PH boleh berjaya. Saya berinteraksi dengan beberapa pimpinan mahasiswa Johor di beberapa universiti, dia semua ke arah perubahan.

“Tapi yang tua-tua masih lagi susah, terutamanya kawasan kelapa sawit Felda. Kita harapkan anak-anak yang akan meyakinkan mereka,” katanya.

Walaupun berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang sejak 2013, Rashid tidak pernah melupakan negeri kelahirannya, Johor.

“Dua tiga tahun yang lalu, saya tengok Johor memang ada potensi yang baik, itu yang saya turun padang.

“Contohnya di Muar, PKR kalah sikit sahaja masa PRU14.  Begitu juga dengan Parlimen Ledang, sebab Ledang ini hometown saya walaupun saya bersekolah di High School Muar,” katanya.

Pada PRU13, Razali Ibrahim daripada BN menewaskan calon PKR Nor Hizwan Ahmad dengan majoriti tipis 1,646 undi.

Sementara Parlimen Ledang pula, calon BN Hamim Samuri menewaskan calon PKR Hassan Abdul Karim dengan majoriti 1,967 undi.

Selain PKR dan Bersatu, DAP juga sudah menunjukkan kesungguhan untuk menjadikan Johor sebagai gelanggang pertempuran utama pada PRU14.

Baru-baru ini DAP mengumumkan Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin akan dihantar pulang ke Johor untuk bertanding di Parlimen Bakri pada PRU14.

Sementara Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong akan melawan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong di kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Pada 2013, Liew berpindah dari Bukit Bendera di Pulau Pinang ke Kluang manakala Teo Nie Ching meninggalkan Serdang ke Kulai. Kedua-duanya berjaya merampas kerusi tersebut daripada BN.

Amanah juga akan mempertaruhkan Timbalan Presiden Salahuddin Ayub untuk bertanding di salah sebuah kerusi Parlimen dan DUN di Johor pada PRU14. – 28 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen