Yeo Bee Yin calon kerusi Parlimen Bakri


Chan Kok Leong

Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin ketika berucap pada program 'Bicara Rakyat Parlimen Pagoh' hari ini. Beliau dipilih sebagai calon Pakatan Harapan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Bakri pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) meneruskan serbuan mereka di Johor apabila mengumumkan Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin bagi kerusi Parlimen Bakri.

Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat pengumuman di Pusat Komuniti Bakri Bentayan hari ini.

Lim juga mengumumkan calon baru Ng Yat How bagi kerusi DUN Bentayan.

Terdahulu, Lim berkata beliau datang ke Muar dengan perasaan bercampur-baur ketika mengumumkan persaraan Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa dan Adun Bentayan Chua Wee Beng.

“Melepaskan kerusi yang ada tidak mudah tetapi semangat pengorbananlah yang akan membantu perjuangan bergerak ke depan. Semangat seperti ini memberi kita momentum baru untuk terus maju,” kata Lim.

Keputusan PH memindahkan “bintang” untuk bertanding kerusi di Johor adalah sebahagian daripada usaha gabungan membuat keputusan serius untuk menawan negeri selatan pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata langkah Yeo ke Johor mengikuti contoh lain yang ditetapkan oleh pemimpin DAP seperti Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching.

“Pada 2013, Liew berpindah dari Bukit Bendera ke Kluang manakala Teo berpindah dari Serdang ke Kulai. Kedua-duanya berjaya. Langkah Yeo di sini sejajar dengan cita-cita kami untuk mencabar Barisan Nasional dan Umno di negeri asal mereka,” kata ahli Parlimen PJ Utara itu.

Liew mengumumkan minggu lalu beliau akan menentang Timbalan Presiden MCA dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Wee Ka Siong bagi kerusi Ayer Hitam.

Begitu juga, Yeo mengumumkan minggu lalu beliau meninggalkan kerusi DUN Damansara Utama untuk kembali bertanding di negeri asalnya di Johor.

Semasa pilihan raya 2013, Yeo menjadi ahli Parlimen Selangor termuda pada usia 30 tahun yang memenangi kerusi DUN Damansara Utama dengan 83.6% undi. Ia adalah margin kerusi negeri tertinggi di negara ini.

The Malaysian Insight melaporkan pada Rabu beliau akan menggantikan ahli Parlimen dua penggal Teck Hwa sebagai calon Bakri dalam pilihan raya akan datang.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa memulakan ucapan dengan menyampaikan terima kasih kepada pengundi Muar atas sokongan mereka dan berkata beliau berundur demi perkara lebih baik.

Beliau berkata Malaysia masih terperanjat dengan skandal kewangan dan meminta mereka meneruskan sokongan untuk Yeo.

“Terima kasih bagi semua orang atas sokongan anda selama 10 tahun lalu. Sekiranya saya melakukannya dengan baik, adalah kerana anda dan jika masih tidak mencukupi, sila maafkan saya,” kata Er.

Chua Wee Beng juga mengumumkan keputusan melepaskan kerusinya di Pusat Komuniti Bakri Bentayan di Muar.

Turut hadir ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, calon Ayer Hitam dan Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, Chua Wee Beng, dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman. – 24 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen