TNB, Petronas bergabung majukan ekonomi hidrogen


TENAGA Nasional Bhd (TNB) dan Petronas menandatangani Perjanjian Kajian Bersama Kebolehlaksanaan (JFSA) untuk memajukan kajian pembangunan perniagaan hidrogen di Malaysia.

Ini akan mengukuhkan komitmen mereka untuk memajukan ekonomi hidrogen.

“Berdasarkan memorandum persefahaman yang ditandatangani sebelum ini, JFSA menggariskan komitmen kedua-dua pemimpin industri untuk bekerjasama dan memupuk sinergi yang kukuh dalam meneroka serta membangunkan usaha niaga kepesatan bidang hidrogen hijau,” kata TNB dalam satu kenyataan.

Kerjasama ini menandakan visi bersama syarikat bagi mempercepatkan penggunaan teknologi bersih seperti hidrogen dan pemerangkapan karbon, untuk menyahkarbonkan sektor tenaga, tambahnya.

“Perjanjian ini menjadi bukti dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi untuk menyatukan pemain industri dan menjalin sinergi yang kuat. Bersama-sama kami komited untuk meneroka dan membangunkan usaha niaga dalam bidang berpotensi hidrogen hijau,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Baharin Din

Beliau menambah kerjasama itu bukan sahaja akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tetapi juga membawa kepada banyak peluang pekerjaan.

Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas Bacho Pilong berkata kedua-dua syarikat menghimpunkan pengalaman lebih 120 tahun dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

“Bersama-sama, kami berharap dapat membangunkan ekosistem teknologi dan infrastruktur untuk tenaga bersih yang diperlukan dalam memajukan matlamat kemampanan negara dan menyokong peralihan tenaga saksama untuk generasi akan datang,” tambah beliau.

TNB berkata, kerjasama strategik dengan Petronas mempunyai kepentingan khusus dalam menangani cabaran penyahkarbonan industri tenaga, yang mana kedua-dua organisasi memainkan peranan penting.

“Menyedari potensi hidrogen sebagai sumber tenaga yang serba boleh dan bersih, syarikat berhasrat untuk memanfaatkan sumber ini bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor seperti pengangkutan, pembuatan dan penjanaan tenaga,” katanya. – Bernama, 1 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen