BAILIF Perancis gagal menguatkuasakan perintah sita terhadap tiga hartanah milik kerajaan Malaysia di Paris dalam kes berkaitan penganugerahan diberikan mahkamah berjumlah AS$15 bilion (RM67 bilion) kepada waris bekas Sultan Sulu, lapor Reuters.
Mereka cuba mendapatkan akses kepada hartanah itu semalam berikutan arahan dikeluarkan mahkamah pada Disember lalu, tetapi pegawai di Kedutaan Malaysia di Paris mengusirnya, kata peguam waris dan kerajaan Malaysia.
Waris itu cuba untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Timbang Tara Perancis tahun lepas untuk menyelesaikan pertikaian dengan kerajaan Malaysia berhubung perjanjian tanah era penjajah.
Malaysia, yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara, bertegas yang proses itu menyalahi undang-undang dan memperoleh penangguhan keputusan di Perancis.
Hartanah di Paris adalah satu daripada tiga aset Malaysia yang secara terbuka mahu dituntut oleh waris berkenaan.
Mereka mendapatkan perintah sita untuk unit Luxembourg firma minyak negara Petronas dan meminta kebenaran daripada mahkamah untuk merampas aset di Belanda.
Walaupun penangguhan itu, seorang hakim Perancis pada Disember tahun lepas membenarkan permintaan waris untuk merampas tiga hartanah kerajaan Malaysia di Paris bagi menyelesaikan hutang sebanyak €2.3 juta (RM11 juta) yang mereka katakan masih terhutang, menurut dokumen mahkamah yang dikongsi oleh peguam waris.
Cubaan rampasan di Paris tidak dilaporkan sebelum ini. – Agensi, 7 Mac, 2023.
Komen