Bomba Greece kawal kebakaran dekat tapak purba Olympia


Kebakaran hutan besar berdekatan pintu masuk tapak purba Olympia berlaku pada Sabtu. – Gambar Greek City Times, 30 Julai, 2023.

ANGGOTA bomba Greece berjaya mengawal beberapa kebakaran hutan berhampiran tapak purba Olympia di barat Semenanjung Peloponnese, menurut ibu pejabat perkhidmatan bomba pada Ahad.

Pihak berkuasa pertahanan awam dan perkhidmatan bomba pada masa sama mengeluarkan amaran tahap kedua tertinggi bahaya kebakaran di kebanyakan wilayah ekoran keadaan kering dan panas, lapor agensi berita Jerman (DPA).

Pada Sabtu, pihak berkuasa di Olympia, tapak keagamaan utama dan lokasi acara Sukan Olimpik purba diadakan, mengaktifkan sistem memadam kebakaran yang menyembur tapak itu dengan air.

Radio tempatan melaporkan anggota bomba dapat memadamkan api beberapa ratus meter sebelum mereka tiba di lokasi.

Kebakaran hutan pada tahun 2007 memusnahkan banyak pokok berhampiran Olympia.

Datuk bandar menuduh spekulator hartanah melakukan pembakaran.

“Mereka mahu memusnahkan hutan dan belukar untuk menanam pokok anggur dan pokok zaitun,” katanya.

Polis menahan seorang individu yang disyaki melakukan pembakaran berhampiran Olympia pada Ahad.

Pejabat cuaca Greece meramalkan suhu normal sekitar 36 darjah Celsius bagi tempoh beberapa hari akan datang.

Suhu melonjak sehingga melebihi 40 darjah dalam gelombang haba yang berlangsung hampir dua minggu yang berakhir pada Khamis. – Bernama, 30 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen