KERAJAAN Greece berikrar membangunkan semula penempatan dan memberi pampasan kepada penduduk yang terjejas akibat beberapa kebakaran hutan di negara itu.
Api dilaporkan masih marak di beberapa kawasan pada Isnin, lapor Xinhua.
Ikrar itu dibuat oleh Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis dalam perbahasan di Parlimen, menurut Agensi Berita Greece AMNA
Mitsotakis turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Bulgaria, Nikolai Denkov, kerana membantu Greece memadamkan kebakaran hutan.
Nikolai Denkov dalam rangka lawatan ke Athens.
“Ini berlaku akibat perubahan iklim. Kami melalui satu lagi musim panas yang sukar dan sedang berusaha menanganinya,” kata Mitsotakis.
Sementara itu, Menteri Krisis Iklim dan Perlindungan Awam,Vassilis Kikilias, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun banyak kawasan hutan dan zon kediaman rosak selepas lebih 500 kebakaran berlaku di seluruh negara sejak 12 hari lalu.
Beliau berkata jenayah khianat turut menyumbang kepada insiden kebakaran.
Berikutan itu, denda atas kesalahan menyebabkan kebakaran akan dinaikkan selain menambah bilangan kakitangan untuk menangani isu ini.
Anggota jabatan bomba juga dilaporkan sedang bergelut buat hari ketujuh untuk memadam tiga kebakaran di Rhodes Islands di tenggara Greece.
Hampir 20,000 orang, termasuk pelancong telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Anggota bomba turut berhadapan cuaca sukar untuk memindahkan penduduk dan memadamkan kebakaran di bahagian selatan Pulau Evia yang terbakar pada Ahad.
Sejak minggu lalu, Greece mengalami gelombang haba paling teruk dalam beberapa dekad, dengan suhu mencecah 45 darjah Celsius.
Menurut ahli meteorologi, selepas agak reda pada Isnin, suhu tinggi diramalkan berterusan pada Selasa dan Rabu. – Bernama, 25 Julai, 2023.
Komen