Tugu peringatan kenang tragedi berdarah Lundu


Desmond Davidson

Gambar menunjukkan trak dan kenderaan Land Rover yang diserang hendap pengganas komunis di Kampung Jangkar, Lundu di Sarawak pada 26 Mac 1972. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Julai 2023.

SALAH satu pertempuran paling sengit yang pernah ditempuhi Angkatan Tentera Malaysia ialah ketika melawan pemberontakan pengganas komunis di Sarawak pada 1970-an, juga merupakan episod hitam dalam sejarah Batalion Ke-7 Rejimen Renjer Diraja (7 RRD) yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah.

Serangan hendap oleh komunis di Jalan Lundu-Biawak pada 26 Mac 1972 menyebabkan 15 daripada 20 anggota 7 RRD diarahkan untuk memberi perlindungan kepada tim penyelenggaraan ke Pos Gabungan Sempadan Biawak terkorban. Mereka diaturgerakkan ke Lundu pada akhir 1971 untuk bertugas di sempadan Sarawak-Kalimantan selama setahun.

Pada pagi insiden malang itu, 20 anggota 7 RRD diketuai Sarjan Basha Sulaiman telah ditugaskan untuk mengirini tim penyelenggaraan untuk membaiki tangki air yang bocor di Pos Gabungan Sempadan Biawak, yang terletak kira-kira 13km dari Lundu.

Semasa dalam perjalanan balik dari Biawak, kira-kira 3.30 petang, konvoi yang terdiri dua trak tiga tan serta sebuah Land Rover diserang hendap oleh segerombolan kira-kira 40-50 pengganas komunis dari Pasukan Gerila Rakyat Sarawak ketika melalui Kampung Jangkar.

Land Rover yang mendahului konvoi berjaya meloloskan diri ke Kem Titi Akar untuk mendapatkan bantuan pasukan 1 Rejimen Peninjau. Sebuah kereta perisai Ferret kemudian tiba di lokasi untuk memberi bantuan sehingga pengganas komunis berundur.

Seramai 15 anggota 7 RRD termasuk Sarjan Basha Sulaiman terkorban manakala empat lagi cedera parah.

Seterusnya, Operasi Bella telah dilancarkan bagi memburu pengganas komunis tersebut dan seramai 11 orang berjaya dibunuh manakala 2 lagi ditangkap. 

Anggota Batalion 7 RRD berkenaan kembali ke pangkalan mereka di Sungai Petani pada Disember 1972.

Mei lalu, Tugu Peringatan Kampung Jangkar di Jalan Biawak-Lundu dirasmikan bagi memperingati keberanian 15 anggota 7 RRD yang terkorban dan empat lagi yang cedera dalam kejadian serangan hendap itu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah ketika merasmikan tugu itu berkata ia diwartakan sebagai tapak warisan bersejarah negeri. – 30 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen