Thaksin rancang pulang ke Thailand 10 Ogos


Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra hidup dalam buangan sejak 2008, menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera. – Gambar AFP, 26 Julai 2023.

BEKAS perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang hidup dalam buangan merancang untuk kembali ke Thailand pada 10 Ogos.

Perkara itu diumumkan anak perempuannya Paetongtarn Shinawatra dalam hantaran di media sosial.

Paetongtarn Shinawatra merupakan seorang daripada tiga calon perdana menteri dari Pheu Thai yang kini mengetuai gabungan lapan parti dalam usaha membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum 14 Mei.

“Ayah akan kembali pada 10 Ogos di Lapangan Terbang Don Muang,” tulisnya sempena ulang tahun ke-74 bapanya pada Rabu.

Thaksin sudah berhasrat untuk pulang ke tanah air sejak awal 2022.

“Kami berdua gembira dan bimbang, tetapi kami sentiasa menghormati keputusan ayah,” tulisnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Jen Surachate Hakparn berkata Thaksin akan tertakluk kepada proses kehakiman selepas beliau kembali.

“Polis akan menjalankan tugas mereka seperti biasa apabila pesawat mendarat. Beliau perlu pergi ke mahkamah dan mendengar keputusan penghakiman,” katanya.

Pada Mei tahun ini, Thaksin menyatakan beliau akan kembali ke Thailand pada Julai sebelum hari lahirnya tetapi ditangguhkan.

Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006 hidup dalam buangan sejak 2008, menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak berdepan hukuman penjara. Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana menyalahgunakan kuasa.

Thaksin baru-baru ini berkata beliau berhasrat untuk kembali ke Thailand walaupun perlu menjalani hukuman penjara dan tidak mahu kerajaan mendesak diberikan pengampunan. – Bernama, 26 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen