Parti Pheu Thai jadi tumpuan pemilihan PM baharu Thailand


Parti Pheu Thai mencalonkan tiga nama iaitu Srettha Thavisin (kanan), Paetongtarn Shinawatra (dua dari kanan) dan Chaikasem Nitsiri sebagai calon perdana menteri. – Gambar fail AFP, 22 Julai, 2023.

TUMPUAN kini terarah kepada Parti Pheu Thai yang mengetuai gabungan lapan parti dalam usaha membentuk kerajaan ketika Parlimen dijadual bersidang semula Khamis depan untuk memilih perdana menteri baharu Thailand.

Pheu Thai, parti kedua terbesar dalam gabungan itu memenangi 141 kerusi, mengambil alih tanggungjawab berkenaan selepas Pita Limjaroenrat dari Parti Move Forward (MFP) gagal mendapat sokongan mencukupi pada 13 Julai untuk dilantik sebagai perdana menteri baharu.

Undian enam hari kemudian memutuskan beliau tidak boleh dicalonkan kali kedua, menamatkan usahanya untuk menjadi perdana menteri.

Gabungan yang terdiri daripada MFP, Pheu Thai, Prachachat, Thai Sang Thai, Pheu Thai Rumphlang, Parti Liberal Thai, Parti Adil dan Plung Sungkom Maia, secara kolektif memperoleh 312 kerusi daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Ia memerlukan sokongan tambahan sekurang-kurangnya 375 undi daripada 749 anggota Parlimen dwidewan untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, gabungan itu menghadapi cabaran hebat, kerana beberapa parti politik lain enggan menyokongnya.

Pada masa ini, terdapat sekurang-kurangnya empat parti yang mengumumkan mereka tidak akan menyertai gabungan pimpinan Pheu Thai selagi MFP yang memenangi pilihan raya Thailand berada dalam pakatan itu.

Mereka adalah Parti Bhumjaithai, yang memenangi 71 kerusi, Parti Palang Pracharath (40), United Thai Nation (36) dan Chart Thai Pattana (10).

Pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul berkata parti itu tidak akan menyertai mana-mana kerajaan gabungan MFP kerana dalam kempen mereka berjanji meminda Perkara 112 Kanun Jenayah atau undang-undang lese-majeste.

“Parti Bhumjaithai tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai dasar untuk meminda Perkara 112 Kanun Jenayah. Kami juga tidak menyokong kerajaan minoriti.

“Adalah jelas MFP satu-satunya parti yang mencadangkan pindaan Perkara 112 Kanun Jenayah dan ia tidak berhasrat untuk berundur,” katanya sambil menambah Pheu Thai masih belum menghubungi parti itu.

Sementara itu, ketua parti UTN, Peeraphan Salirathaviphak berkata partinya tidak akan menyertai gabungan pimpinan Pheu Thai atau menyokong calon perdana menterinya jika MFP menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

“UTN tidak percaya MFP akan mengubah ideologi politiknya, seperti yang dibuktikan oleh aktiviti politiknya yang lalu.

“Apabila Parlimen bermesyuarat untuk mengundi perdana menteri akan datang, jika MFP kekal dalam gabungan itu, UTN tidak akan mengundi calon blok ini,” tulisnya di laman Facebook.

Pemimpin Carta Thai Pattana, Varawut Silpa-arch berkata partinya akan mengundi calon perdana menteri Pheu Thai jika gabungan itu tidak bekerjasama dengan mana-mana parti yang berjanji meminda undang-undang lese-majeste.

Pemimpin Parti Pheu Thai Cholnan Srikaew berkata parti itu akan mendapatkan sokongan tambahan daripada 250 anggota senat yang dilantik tentera serta parti di luar gabungan itu.

Parti Pheu Thai mencalonkan tiga nama untuk calon perdana menterinya: pemilik hartanah Srettha Thavisin, Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan Chaikasem Nitsiri, ketua strategi parti.

Srettha berusia 60 tahun yang baharu menceburi arena politik dan aktif tahun lalu, sangat dinanti-nantikan untuk menjadi calon parti itu bagi jawatan ketua eksekutif negara. – Bernama, 22 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen