Jalan Umno bangkit dalam PRN


Fakhrurrazi Rashid

Umno parti Melayu kedua terbesar bertanding dalam PRN ini selepas PAS bertanding 126 kerusi dan Bersatu sebanyak 83 kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2023.

UMNO-Barisan Nasional (BN) sah bertanding 108 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15) di enam negeri. 

Kiranya, Umno parti Melayu kedua terbesar bertanding dalam PRN ini selepas PAS bertanding 126 kerusi dan Bersatu sebanyak 83 kerusi. 

Kali ini, Umno-BN mencipta sejarah berkempen seiring dengan Pakatan Harapan (PH) menggunakan platform kerajaan perpaduan di peringkat pusat.  

Tetapi Umno di dalam persimpangan dalam PRN kali ini. Sebahagian ahli Umno mahu parti keramat ini bungkus dan tidak boleh tinggal nyawa-nyawa ikan kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno. 

Lapan bulan Umno-BN sebagai kerajaan perpaduan, sentimen ini masih menebal walaupun ada yang sudah surut.

Menariknya Umno bertanding solo menggunakan logo dacing tanpa rakan setianya MCA dan MIC sudah pasti ia memberi kesan kepada jentera BN. 

Mungkin ini satu strategi terbaik BN atau ia boleh menjadi tanda kedua-dua parti komponen BN itu mahu menjauhi kekalahan buruk Umno nanti.

Jadi, apa yang jalan untuk Umno-BN bangkit? Mengapa Umno-BN tidak bertanding solo dalam PRN kali ini seperti pertarungannya dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor dan Melaka sewaktu bersama-sama gabungan itu dalam kerajaan pusat?

Bertanding solo dalam PRN sebenarnya lebih memudahkan Umno-BN mengangkat mesej parti dan tidak perlu terikat dengan kerajaan perpaduan. 

Malah, gabungan parti ini akan lebih dominan jika memperoleh banyak kerusi dalam pembentukan kerajaan negeri. Ini membuatkan akar umbi dan pengundi Melayu atas pagar mempunyai ruang memilih Umno-BN sebagai pilihan berbanding PH dan PN.

Tidak ada beban

PRN Melaka dan Johor adalah mesej awal Umno-BN  membuktikan mereka mampu bangkit menerajui kerajaan negeri dengan majoriti besar. 

Satu faktor utama kemenangan ini adalah kejayaan pemimpin Umno-BN meyakini dan menyatukan akar umbi walaupun sengit dicabar PH dan PN.  

Imej kesederhanaan dan jiwa kebangsaan bertunjangkan Melayu dan Islam dengan membawa slogan “Kestabilan dan Kemakmuran” diterima baik pengundi Melayu dan pengundi atas pagar di Melaka dan Johor.

Pengalaman bertahun-tahun lamanya Umno-BN mentadbir Melaka dan Johor membolehkan manifesto yang mudah dan praktikal dibentuk. 

Kepakaran parti ini dalam memahami isu tempatan telah menjadi faktor Umno-BN selesa berkempen di PRN Melaka dan Johor walaupun diserang PH dan PN dengan isu nasional seperti 1MDB dan kes mahkamah Datuk Seri Najib Razak.

Hakikatnya, Umno-BN punyai ramuan dan acuan bagi menyelamatkan reputasinya dengan pengundi Melayu dan akar umbi jika bertanding solo. 

Bukankah ini solusi terbaik untuk menepis dakwaan PN tentang keburukan Umno-BN dalam perajaan perpaduan?

Tetapi, pembacaan kali ini sedikit berbeza. Cabarannya kian sukar memandangkan peralihan sokongan Melayu kepada PN pasca PRU15 berlaku secara besar-besaran dengan membawa sentimen bencikan Umno-BN dan kerajaan perpaduan.

Keputusan Umno-BN bertanding atas tiket kerajaan perpaduan membuktikan jiwa besar parti itu dalam mengangkat persefahaman demi kestabilan dan kemakmuran negara. 

Perkara inilah membezakan parti itu berbanding PN yang lebih tertumpu kepada perebutan kuasa tanpa sebarang visi yang jelas untuk mentadbir negara.

Namun Umno-BN mempunyai tugas berat meyakinkan dan memujuk akar umbi dan pengundi atas pagar Melayu demi memenangkan parti bagi keenam-enam negeri PRN. 

Penting buat Umno-BN memastikan akar umbi di keenam-enam negeri tidak mengundi PN dengan mesej yang lebih meyakinkan kepada pengundi Melayu.  

Imej kesederhanaan dan jiwa kebangsaan bertunjangkan Melayu dan Islam seharusnya menjadi pakaian utama Umno dalam PRN kali ini. 

Perkara ini terbukti berjaya ketika Umno-BN berkempen di PRN Johor dan Melaka dengan membawa slogan “Kestabilan dan Kemakmuran” yang diterima baik pengundi Melayu atas pagar dan akar umbi parti.

Peluang menjadi kerajaan negeri

Kegusaran akar umbi Umno-BN yang meragui kepentingan kerajaan perpaduan sepatutnya tidak berlaku dengan melampau. 
Realitinya, prestasi ekonomi dan pentadbiran kesemua negeri ditadbir Umno-BN iaitu Johor, Melaka, Pahang dan Perak amat memberangsangkan dan kestabilan politiknya kekal kukuh. 

Kesemua menteri besar dan ketua menteri daripada Umno-BN mampu menjaga kepentingan ekonomi Melayu dan Islam di negeri masing-masing.  

Kini, peluang Umno untuk kembali menjadi kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang setelah gagal menjadi kerajaan negeri selama 15 tahun kian cerah. 

Akar umbi Umno-BN setidak-tidaknya dapat merasai semula mentadbir negeri termaju di Malaysia di bawah kerajaan perpaduan dengan membela nasib rakyat, khasnya orang Melayu itu sendiri.

Setidak-tidaknya, jika Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno-BN juga akan tersenarai sebagai anggota pentadbiran di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang. 

Penting juga Umno-BN untuk berusaha sedaya upaya memenangi hati akar umbi mengambil semula pentadbiran Terengganu setelah lima tahun diperintah PAS.

Logiknya mudah, sokongan akar umbi PH di kerusi ditandingi sekurang-kurangnya memberi jaminan kepada Umno-BN tidak akan hilang deposit. 

Apa yang diperlukan Umno-BN hanyalah mendapatkan undi daripada akar umbi parti dan pengundi Melayu atas pagar, termasuk wanita dan belia untuk menang di setiap kerusi ditandingi.

Akar umbi Umno-BN harus sedar, peralihan undi Umno-BN kepada PN hanya memberikan nyawa kepada parti lawan untuk tumbuh lebih kukuh. 

Kuasa diberikan kepada PN memberi kesan berganda dalam mematahkan pergerakan Umno-BN di peringkat kawasan. Pilihan terbaik yang ada adalah membentuk kerajaan perpaduan di enam negeri PRN.

Walau apapun berlaku dalam PRN nanti, Umno-BN boleh memainkan peranan untuk terus kekal bersama kerajaan perpaduan demi perpaduan dan kestabilan politik Malaysia. 

Janganlah cepat melatah seperti Bersatu dalam kerajaan PH pada tahun 2018 yang akhirnya melahirkan rasa marah rakyat.  

Lebih baik Umno-BN menyewa rumah dalam kerajaan perpaduan sementara membaiki rumah yang sedang dibaik pulih daripada menumpang rumah jiran seperti PN yang sedang memusnahkan keluarga dan rumah Umno-BN itu sendiri. – 26 Julai, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen