Akta Antiberita Tidak Benar terlalu samar dan lebih luas berbanding OSA, kata Amanah


Low Han Shaun

Presiden Amanah Mohamad Sabu mengatakan definisi dan terma Akta Antiberita Tidak Benar 2018 tidak jelas dan terlalu meluas berbanding OSA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.

AKTA Antiberita Tidak Benar terlalu samar dan lebih meluas berbanding Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini.

Pemimpin yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata akta yang dibentangkan semalam itu tidak secara jelas mendefinisikan terma “berita tidak benar” walaupun disertai dengan pelbagai contoh.

“Ia lebih daripada itu, OSA hanya bercakap tentang apa yang berlaku di Malaysia, misalnya pembelian peralatan ketenteraan… tetapi dengan undang-undang berita palsu, kita takt ahu sejauh mana capaiannya dan bagaimana kita tafsirkan berita palsu,” katanya pada sidang media selepas sebuah majlis pelancaran buku di Ampang.

Pada pembentangan rang undang-undang itu semalam, kerajaan menyediakan beberapa contoh apakah yang dianggap sebagai berita tidak benar, antara lain pengiklanan menggambarkan karikatur seorang pelabur berjaya dalam skim pelaburan itu walaupun pelabur itu sebenarnya tidak terlibat dalam skim itu.

“Jadi kami skeptik dan takut yang undang-undang akan digunakan untuk menghalang kami daripada bercakap secara bebas, apa sahaja yang tidak disahkan oleh kerajaan Malaysia.

“Ambil sahaja apa yang didedahkan oleh Jabatan Kehakiman (AS, DoJ) adakah perkara itu termasuk dalam undang-undang berita palsu? Kerana ia tidak disahkan oleh kerajaan Malaysia,” soalnya.

Pengamal undang-undang sebelum ini berkata, RUU berkenaan memberikan kerajaan lebih kuasa, termasuk bidang kuasa wilayah asingan yang membenarkan ia menahan atau mendakwa sesiapa sahaja, termasuk di luar Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan, yang menerbitkan sesuatu yang dianggap sebagai berita palsu.

Pembiaya blog atau laman web berita juga boleh didakwa, manakala permohonan mahkamah untuk menukar larangan penerbitan boleh dibuat atas alasan keselamatan negara.

“Ia seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tiada satu perkataan komunis di dalamnya, ia hanya kata apa sahaja yang cetuskan kekecohan, angkat senjata adalah perkara tidak demokratik.

“Tetapi kita lihat ISA digunakan untuk siapa? Jadi rang undang-undang anti berita palsu ini juga sebegitu, terlalu samar, terlalu berkuasa dan penjelasannya (kurang),” katanya.

 Dalam isu berlainan mengenai logo Pakatan Harapan, beliau mengatakan parti itu akan mengumumkan logo yang akan digunakan semua calon pembangkang gabungan parti itu minggu depan

“Kami akan umumkan keputusannya minggu depan,” katanya. – 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen