Gugatan dan kebangkitan Sanusi


Mohd Azizi Jaeh

Pada usia 49 tahun, nama Sanusi Md Nor meningkat naik dalam tempoh singkat untuk menyandang jawatan menteri besar Kedah ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2023.

SANUSI Md Nor antara politikus lincah yang tiba-tiba menggegarkan kedudukan politik Malaysia. Memandangkan karakter politiknya yang cenderung berkonfrontasi, kita akan terus menyaksikan kontroversi mengenainya di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pada usia 49 tahun, namanya meningkat naik dalam tempoh singkat untuk menyandang jawatan menteri besar Kedah ke-14.

Selaku pengarah pilihan raya bagi Perikatan Nasional (PN), beliau berperanan penting menjadi orang kuat atau iron man dalam misi mempertahankan Kedah dan menawan beberapa negeri lain.

Sanusi adalah watak eksotik atau memiliki kelainan berbanding ahli-ahli politik Melayu sebelum ini. Dalam erti kata, anak kelahiran Sik Kedah ini menonjolkan sifat dan tingkah laku yang bukan selalu dibayangkan oleh ramai orang – mempamerkan kepemimpinan Melayu yang bukan berperwatakan elit dan cara bangsawan.

Fenomena Sanusi sebahagiannya dibikin secara terancang dan tersusun, manakala sebahagian pula akibat rangsangan spontan yang timbul dalam kalangan penyokong PAS dan PN di ruangan maya dari seluruh negara.

Lagi pula, muslihat Sanusi mensensasikan pelbagai isu menerusi ucapan, ceramah dan sidang media merupakan strategi untuknya mencipta market  Sanusi.

Kebetulan pula sejarah politik Kedah telah melahirkan dua orang Menteri Besar yang bernama Sanusi. Dahulu Kedah mempunyai Sanusi Junid (1996-1999, kini Kedah mempunyai Sanusi Md Nor (2020-hingga kini). Kedua-duanya adalah penentang hebat Anwar Ibrahim.

Psike Melayu umumnya akan tertarik dengan gaya persembahan Sanusi. Tutur kata, pengenaan dialek Kedah serta cara pergaulan Melayu kampung yang ditunjukkannya dapat menangkap imaginasi khalayak Melayu – khususnya Melayu luar bandar.

Jika diperhatikan, beliau dianggap penghulu Melayu yang mudah dan mesra didampingi oleh pelbagai lapisan sosial khasnya rakyat biasa.

Sifat peribadinya yang intim dengan ikatan keMelayuan Islam telah mengukuhkan jati diri dan ciri ketaatannya kepada kepimpinan ulama sekali gus membantu melonjakkan perjuangan PAS.

Tanpa berselindung, Sanusi memaparkan sikapnya yang suka menentang arus, lantang (outspoken) dan sering berbalas serangan terhadap seteru politiknya. Secara tidak langsung, hubungan antara Persekutuan dan Kedah kadangkala boleh mencetuskan kekeruhan dan ketegangan.

Dari satu segi pula, Sanusi dengan nada berseloroh dan tegas menyatakan dalam ucapannya “tak usah duk lawan la Nusi, Nusi lebih nakal daripada itu. Kalau nak saman Nusi untuk berhenti daripada menjadi budak nakal, Nusi takkan berhenti kerana Nusi dilahirkan untuk melawan.”

Tambahnya, sekiranya Sanusi tidak bercakap lepas orang tidak akan mendengar dan memberikan perhatian. Taktikal yang dilancarkan Sanusi untuk memikat orang ramai agar sentiasa mengingati dan bercakap tentang dirinya.

Bahkan Sanusi tampil dengan penyampaian ceramah yang penuh dengan lawak jenaka yang mencuit hati penyokongnya serta diselangselikan dengan kata yang membidas, mencabar dan mempersendakan lawannya. Mungkin ini adalah cara berpolitik Sanusi melepaskan geram yang terpendam.

Lahir dari latar keluarga yang miskin menampakkan dirinya bersikap kasar, nakal mengusik dan tidak mempunyai kehalusan dalam menuturkan kata-kata. Kenyataan ini sendiri diakuinya. Tidak hairanlah kebangkitan Sanusi telah mencetuskan time bomb.  

Dengan mengambil risiko yang mungkin menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia. Dalam situasi tertentu, Sanusi gagal menahan perkataan yang diungkapkan apabila berada di pentas ceramah. Pendakwaan Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadapnya baru-baru ini dikatakan yang beliau telah melanggar garisan merah. Kebebasan bersuara itu ada batasan dan hadnya.

Salah satu aspek yang menarik perhatian penulis ialah fenomena Sanusi telah membangkitkan politik konservatif di kalangan orang Melayu. Sanusi antara faktor yang mengukuhinya.

Unsur konservatif yang dipaparkan dalam pemikiran Sanusi ialah sering mengulang-ulang ingatan sejarah, mengimbau terhadap kegemilangan sejarah lampau kerajaan Kedah serta membangkitkan kisah silam Pulau Pinang adalah milik Kedah yang boleh dikembalikan. Ini membayangkan sejarah yang ditidurkan, kini dibangunkan semula oleh Sanusi.

Buktinya dalam petikan ucapannya di Himpunan Melayu Raya Kedah Berselawat, beliau menyatakan:

 “Apa yang sedang kita laksanakan adalah membuka lembaran sebenar yang telah disembunyikan begitu lama untuk rujukan, panduan dan pedoman generasi sekarang dan generasi akan datang untuk memimpin negeri ini. Sekali lagi menjadi negeri [Kedah] yang telah membawa cahaya Islam ke seluruh rantau ini.

“Kalaulah negeri jiran kita itu Constantinople [merujuk Pulau Pinang], tuan-tuan semua adalah Muhammad al-Fatehnya, kalau berlaku Fathul (pembukaan) Mekah tuan-tuan adalah tenteranya di waktu ini, tetapi pembukaan Mekah itu akan diulang dengan cara dan kaedah zaman ini, bukan lagi peperangan bersenjata.

“Constantinople (merujuk Pulau Pinang) itu akan diambil semula juga bukan dengan kekerasan, tetapi dengan iltizam dan kesungguhan kita. Bangsa Kedah tidak akan lagi ditindas, bangsa ini tidak lagi diizinkan untuk diinjak, dipandang hina di dunia ini, bangsa ini akan bangkit untuk mendaulatkan sekali lagi Kedah Darul Aman sebagai kerajaan paling ulung The Greater Kedah di rantau ini”

Oleh sebab fenomena Sanusi muncul di tengah-tengah percaturan politik kepartian yang dirangsang oleh semangat demokrasi, faktor membangkitkan sejarah masa lalu dengan naratif yang dibinanya olehnya adalah untuk memenangi PRN yang semestinya begitu berpengaruh kepada pengundi khususnya di Kedah.  

Apa sahaja yang mungkin kita bayangkan tentang keperibadian Sanusi, kita patut meneliti keupayaannya menempatkan diri antara tokoh popular setaraf dengan ahli-ahli politik senior di negara ini. Itu satu pencapaian yang agak ketara. Biar apa pun kegetiran dihadapinya, Sanusi pasti sanggup “dihempas badai dilambung gelombang”, meminjam kata Allahyarham Sanusi Junid. – 25 Julai, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen