CEO Perbadanan Menteri Besar Kedah pula ditahan


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM menahan reman ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah dan seorang pengarah syarikat berkaitan kes rasuah lebih RM13 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2023.

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang pengarah syarikat ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah melibatkan rasuah melebihi RM13 juta.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu yang perintah reman selama tiga hari sehingga 21 Julai masing-masing dikeluarkan Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Majistret Norsyakirah Che Hashim di Mahkamah Majistret Shah Alam.

“Kedua-dua suspek berusia 63 dan 40 tahun itu ditahan sekitar lewat petang Selasa di Alor Setar dan Kuala Lumpur,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber, penahanan dua individu itu adalah hasil siasatan ke atas aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat yang mendapat perlindungan daripada pihak tertentu sejak tahun 2020.

“Siasatan dapat mengesan beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah lebih RM13 juta diberikan syarikat itu sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini dalam tempoh 2020 hingga 2023.

“Syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai telah mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah sejak 2016 lagi.

“Projek tersebut bertujuan untuk menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan yang terlibat,” katanya.

Sumber berkata, pada tahun 2020, syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan REE dalam kompartmen yang sama.

Namun, kata sumber, setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh kerajaan negeri berhubung permohonan syarikat tersebut bagi menjalankan aktiviti perlombongan itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM berkata mereka telah membuka beberapa kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh seorang menteri besar dalam isu perlombongan REE.

Siasatan dimulakan agensi itu selepas mendapat aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Gerakan Anti-Sanusi (GAS) pada bulan Mac 2023.

Selain itu, kata agensi itu, penduduk di kawasan Bukit Enggang, Sik turut membuat aduan berhubung kerja perlombongan haram besar-besaran sebelum ditumpaskan pihak berkuasa.

Pada Januari 2023, Umno Kedah menggesa SPRM untuk menyiasat dan mendedahkan hasil siasatan sama ada terdapat campur tangan politik dalam isu kecurian REE yang mendatangkan kerugian besar kepada negara. – Bernama, 19 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen