Fadillah, Nanta doakan Salahuddin diberi kesembuhan


Salahuddin dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam tadi selepas mengalami mual dan muntah-muntah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2023.

TIMBALAN Perdana Menteri Fadillah Yusof mendoakan agar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub yang disahkan mengalami pendarahan otak dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT.

Menerusi ciapan di Twitter, Fadillah mendoakan semoga segala urusan Ahli Parlimen Pulai itu dipermudahkan. 

“Saya mendoakan semoga dipermudahkan segalanya dan semoga @MyDSA_official (akaun Twitter rasmi Salahuddin), YBM (Yang Berhormat Menteri) @KPDN_HQ dikurniakan Allah SWT kesembuhan…Aamiin,” menurut ciapan itu.

Terdahulu Setiausaha Akhbar Salahuddin Nur Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan  Salahuddin disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Menurut kenyataan itu, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam tadi selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Turut mendoakan kesembuhan buat timbalan presiden Amanah itu ialah Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya mendoakan agar YB Datuk Seri Salahuddin Ayub cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” kata Nanta dalam catatan di Facebook.

Sementara itu, di Johor, Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata ketika mendengar berita itu beliau berpendapat Salahuddin yang nampak sihat sebelum ini cuma kepenatan susulan kerap turun pandang menjelang pilihan raya negeri (PRN).

“Semoga beliau segera sembuh,” kata Naib Presiden Umno itu yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi ketika ditemui pemberita selepas merasmikan UPSI Smarthome Schooling@Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Jaafar Albar, Kota Tinggi, hari ini.

Di Kelantan, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti itu akan terus memantau tahap kesihatan Salahuddin dari semasa ke semasa, sambil menambah keterlibatan beliau pada PRN akan datang belum dapat diputuskan kerana ia bergantung tahap kesihatannya.

“Alhamdulillah, sekarang ini dia (Salahuddin) sedang berehat di hospital, Insya-Allah kembali pulih dan stabil. Untuk PRN kita akan pantau dia setiap masa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Projek Kelompok Tanaman Jagung di Kampung Paloh di Tanah Merah.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau diberikan taklimat ringkas oleh dua doktor pakar neurosurgeri yang memaklumkan Salahuddin secara relatifnya kini dianggap stabil dan diletakkan di bawah pengawasan pasca pembedahan dan pengawasan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Dia akan diawasi secara cermat oleh doktor pakar dan menteri kesihatan juga memaklumkan perkembangan Salahuddin kepada jemaah menteri menerusi pesanan Whatsapp dan kepada rakan-rakan semua. Apa yang kita boleh buat adalah mendoakan supaya dia kembali sihat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Salahuddin di Hospital Sultanah Bahiyah, hari ini.

Beliau berkata semua pihak juga diminta untuk memberi ruang kepada isteri dan anak-anak Salahuddin yang sedang berdepan dengan dugaan ini.

“Kita akan terus dapatkan perkembangan rawatan keadaan beliau sekarang dan dalam istilahnya sekarang dia sedang diintubasi…doktor maklum kadar oksigen, tekanan darah semuanya terkawal dan positif,” katanya. – Bernama, 22 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen