Objek di kereta Siti Kasim alat letupan, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Dua objek yang ditemui di bahagian bawah kereta milik peguam Siti Kassim hari ini dikenal pasti oleh polis sebagai alat letupan termampat (IED). – Gambar Facebook, 21 Julai, 2023.

SIASATAN awal polis mendapati dua objek yang ditemui di bahagian bawah kereta milik peguam Siti Kassim hari ini merupakan alat letupan termampat (IED).

Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, pengesahan akan dibuat pakar selepas siasatan Unit Pemusnah Bom (UPB) dan mendapati objek di dalam botol plastik itu merupakan IED.

“Dua botol plastik berkenaan akan dihantar kepada pakar bagi pengesahan lanjut. Siasatan lanjut berhubung objek berkenaan akan dijalankan.

“Di bawah bahan letupan terdapat beberapa elemen untuk mengesahkan, jadi kita perlu hantar kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Amihizam berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian dari wanita terbabit pada jam 12.58 tengah hari.

“Setakat ini polis belum mengambil keterangan wanita terbabit namun secara lisan dia memberitahu tiada musuh.

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut supaya kita dapat mengumpulkan bukti-bukti untuk siasatan,” katanya.

Polis turut menutup kawasan berhampiran pusat servis kenderaan turut ditutup kepada orang ramai.

Siti pada awal mendedahkan beliau menemui objek tersebut di bahagian roda ketika kenderaan tersebut diselenggara di satu pusat servis di Bangsar.

Menurutnya, petugas menemui dua botol minuman berisi wayar yang disyakinya sebagai bom tersangkut di komponen roda.

Menurutnya, beliau menghantar kenderaan itu untuk diservis kerana akan membuat perjalanan ke Kelantan bagi menyelesaikan isu Orang Asli di sana.

Siti bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu dalam pilihan raya umum ke-15. – 21 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen