Kumpulan wanita gesa SOP mangsa rogol disemak semula


Noel Achariam

Pendekatan memfokuskan kepada mangsa rogol perlu digunakan untuk memastikan hasil yang terbaik. – Gambar EPA, 21 Julai, 2023.

TERDAPAT keperluan mendesak untuk menambah baik dan menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam mengendalikan mangsa rogol, termasuk pemeriksaan hospital dan tempoh membuat laporan polis, kata kumpulan wanita.

Mereka berkata sudah tiba masanya untuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri menggesa agar perkara ini dikaji semula.

Kumpulan itu berkata perubahan diperlukan dalam menyediakan latihan sensitiviti bagi penggerak balas pertolongan kecemasan (first-aid responder) serta menyelaraskannya dengan pusat krisis sehenti (OSCC) yang sudah berusia 27 tahun.

Pengurus kanan program All Women’s Action Society (Awam) Lilian Kok berkata penting untuk mengkaji SOP semasa mengenai pelaksanaan OSCC.

“Kami percaya pihak berkepentingan berkaitan dan pasukan petugas yang menyelia operasi OSCC mesti sedar dan selari dengan SOP.

“Selain itu, penggerak balas pertolongan cemas yang ditempatkan di OSCC mesti menyempurnakan latihan sensitiviti yang mencukupi bagi memastikan mereka lebih bersedia untuk mengendalikan kes yang masuk ke pusat mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Ahad, Nancy berkata prosedur berkaitan pemeriksaan hospital bagi mangsa yang disyaki dirogol perlu diperbaiki.

Mengambil kira situasi traumatik yang dihadapi mangsa rogol, beliau berharap Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada mangsa diperiksa di hospital tanpa membuat laporan polis terlebih dahulu.

“Syor kami memandangkan laporan dan kit rogol mesti dibuat dalam tempoh 72 jam, mangsa perlu membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu dan kemudian dibenarkan membuat keputusan sama ada mahu membuat laporan polis atau tidak. Kami akan biarkan KKM membuat keputusan (mengenai cadangan ini).”

Nancy berkata prosedur pengendalian kes disyaki mangsa rogol ketika ini menyatakan laporan polis perlu dibuat terlebih dahulu sebelum mangsa dibenarkan menjalani pemeriksaan lanjut.

Kok berkata menurut data polis, sejak bermulanya pandemik Covid-19, statistik rogol tidak menunjukkan penurunan yang drastik.

Terdapat 1,4523 kes pada 2019, diikuti 1,378 kes (pada 2020), 1,390 kes (pada 2021) dan 1,398 kes (pada 2022).

Beliau berkata statistik yang membimbangkan ini membuktikan fakta sekian lama mengenai keganasan berasaskan jantina yang kebanyakannya disedari masyarakat.

“Ia boleh berlaku di mana-mana termasuk ruang peribadi, dan ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuk orang tersayang.”

Kok berkata pendekatan tertumpu kepada mangsa mesti digunakan untuk memastikan hasil terbaik untuk mangsa yang terselamat.

“Sudah tiba masanya untuk kita, kumpulan masyarakat sivil dan badan kerajaan yang diperlukan bekerjasama dan menyemak semula proses bagi memastikan proses bersepadu yang sensitif untuk mangsa.”

Beliau menambah OSCC ditubuhkan pada 1996, 27 tahun lalu di bawah KKM dan hospitalnya untuk menyediakan rawatan perubatan segera dan sokongan psikologi kepada mangsa.

Ia juga bertujuan untuk bekerjasama dan menyelaras dengan agensi lain yang berkaitan di dalam hospital dan agensi luar seperti polis.

Dasar OSCC 2015 menyatakan dengan jelas pegawai polis perlu disediakan di hospital bagi merawat mangsa terselamat yang tidak pergi ke balai polis terlebih dahulu. – 21 Julai, 2023.

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen