MENTERI Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wujud agenda jahat untuk mencemarkan imejnya dengan mengaitkannya dengan perlombongan unsur nadir bumi di negeri itu.
“Saya difahamkan yang SPRM sedang menyiasat MBI (Perbadanan Menteri Besar), bukan MB. Saya MB, bukan MBI.
“Jadi bagaimana ada laporan berita (yang menteri besar disiasat) diterbitkan sebelum proses (siasatan) bermula lagi?
“Jelas sekali ada agenda tertentu untuk mencemarkan imej MB. Itulah yang sebenarnya berlaku,” katanya kepada wartawan di Alor Setar, hari ini, seperti dipetik akhbar New Straits Times.
Pengarah pilihan raya PAS itu juga berkata beliau tidak dihubungi SPRM berkaitan siasatan itu, menambah yang hanya mengetahui mengenainya melalui laporan media.
Sanusi turut mendakwa plot mengaitkan dirinya dengan perlombongan nadir bumi sudah bermula sejak beberapa bulan sebelum pilihan raya lagi.
“Saya difahamkan sebaik sahaja sayap Pemuda PKR buat laporan dengan SPRM, mereka terus lancarkan siasatan. Ini menunjukkan ada plot dan ia sudah dirancang sudah lama.
“Satu-satunya perkara yang dirancang adalah mengaitkan salah urus di Kedah dengan isu unsur nadir bumi walaupun isu itu jelas sekali melibatkan kecurian.
“Jika saya tahu ada yang mencuri sudah tentu saya akan tangkap. Ini adalah kecurian, jadi siapa yang boleh tahu lebih awal?
“Jadi, kejadian curi ini dibangunkan menjadi naratif yang ia melibatkan menteri besar. Jika saya mencuri, perlu ke saya curi dari negeri saya sendiri? Sudah tentu saya akan curi dari negeri lain,” katanya lagi.
Semalam dilaporkan SPRM telah membuka kertas siasatan tentang salah guna dan rasuah perlombongan nadir bumi (REE) yang dipercayai dilakukan secara haram yang melibatkan pihak berkuasa negeri dan menyebabkan kerugian kepada negeri.
Hadi ini, SPRM mengumumkan mereka menahan reman pegawai tertinggi MBI dan seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah lebih RM13 juta dalam perlombongan nadir bumi. – 19 Julai, 2023.
Komen