SEKURANG-kurangnya enam orang maut dan 11 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan kediaman di Colombia pada Isnin, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Selasa.
“Tanah runtuh menghanyutkan sekurang-kurangnya 15 rumah. Kami telah menemukan enam mayat, termasuk seorang kanak-kanak, tujuh lagi cedera dan 11 hilang,” kata Datuk Bandar Quetame, Camilo Parrado.
Presiden Colombia Gustavo Petro yang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berkata terdapat keperluan mendesak untuk mengambil tindakan mencegah bencana alam berikutan hujan lebat.
“Datuk bandar mesti mengutamakan prinsip ini,” katanya dari Brussels, Belgium.
Tanah runtuh itu turut memusnahkan sebuah jambatan bertol, menyebabkan penutupan menyeluruh jalan raya Llano yang menghubungkan Bogota dengan bandar Villavicencio. – Bernama, 19 Julai 2023.
Komen