Pakaian Baru Bian ketika tandatangani MoU timbulkan spekulasi


Desmond Davidson

Baru Bian dilihat tidak memakai baju korporat parti ketika menandatangani MoU kerjasama politik antara PSB dan PDP di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2023.

PAKAIAN yang dipakai Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian ketika hadir menandatangani MoU kerjasama politik dengan Parti Demokratik Progresif (PDP) di Kuala Lumpur baru-baru ini menimbulkan spekulasi apabila beliau dilihat tidak memakai baju korporat parti.

Sebaliknya Adun Ba Kelalan itu dilihat hadir dengan berjaket sut hitam. 

Penganalisis politik James Chin membuat spekulasi ia mungkin isyarat beliau tidak berpuas hati dengan kerjasama berkenaan.

Pakar tadbir urus Asia dari Universiti Tasmania berkata beliau tidak akan terkejut jika Baru mungkin melakukan sesuatu dalam beberapa bulan akan datang.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat kaveat.

“Sudah tentu ia bergantung kepada bentuk kerjasama yang akan diambil,” katanya.

Menguatkan lagi spekulasi apabila Premier Sarawak Abang Johari Openg memberitahu wartawan lewat malam semalam bahawa beliau dimaklumkan beberapa ahli PSB mahu kembali ke parti asal mereka.

Beliau tidak menamakan sesiapa secara khusus tetapi sudah memadai bagi sesetengah pihak meneka Baru yang menyertai PSB pada Mei 2020 selepas dipecat PKR.

Bekas pengerusi PKR Sarawak itu bagaimanapun menganggap spekulasi itu kelakar.

“Pemakaian saya tidak disengajakan,” katanya menjawab pertanyaan The Malaysian Insight.

Tambahnya beliau berada di Kuala Lumpur selama tiga minggu untuk memulihkan kecederaan pinggul yang dialaminya.

Katanya, beliau diminta hadir pada majlis menandatangani MoU itu sehari sebelum itu.

“Tiada baju parti di KL jadi saya berpakaian sebaik mungkin,” katanya.

Sambil menolak spekulasi itu Baru berkata beliau ikhlas dengan langkah berkenaan.

“Saya akan membuat kenyataan selepas semuanya tercapai iaitu penggabungan.

“Buat masa ini ia hanya langkah pertama,” katanya.

Adun tiga penggal itu yang pertama kali memenangi pilihan raya negeri 2011 atas tiket PKR berkata kerjasama politik itu baik untuk masyarakat Dayak.

MoU itu menyatakan kedua-dua pihak berhasrat untuk bekerjasama dalam semangat ‘segulai sejalai’ (dalam bahasa etnik Iban bermaksud seiring sejalan) demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Selepas menandatangani MoU kedua-dua pihak akan membentuk jawatankuasa perhubungan untuk berhubung antara satu sama lain dari semasa ke semasa mengenai kemajuan pembangunan persefahaman bersama antara pihak-pihak. – 16 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen