Suara pembangkang Sarawak hilang dengan kerjasama PDP-PSB, kata pemerhati


Desmond Davidson

Presiden PDP Tiong King Sing (kiri) dan Presiden PSB Wong Soon Koh saling berpelukan selepas menandatangani memorandum persefahaman di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2023.

KERJASAMA politik antara Parti Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) menghapuskan pembangkang yang memang hanya sedikit dalam pemerintahan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata pemerhati.

PDP di mana presidennya adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tiong King Sing adalah komponen empat parti GPS sementara PSB adalah bekas parti pro-GPS yang terkeluar pada 2019 susulan tuduhan ia meremehkan gabungan itu dengan kritikan terhadap ahli parti komponen.

Pada Khamis, Tiong dan Presiden PSB Wong Soon Koh menandatangani kerjasama di Kuala Lumpur dengan jangkaan kedua-dua parti itu akan bergabung tidak lama lagi.

Pensyarah Universiti Tasmania James Chin berkata selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2021, pembangkang terlalu sedikit dalam pentadbiran negeri.

Daripada enam kerusi dimenangi pembangkang pada PRN yang ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19 – dua adalah DAP dan empat PSB.

Dengan PSB kini memberikan sokongannya kepada Premier Abang Johari Openg, GPS dan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, Chin berkata “secara asasnya tiada lagi pembangkang” di dewan undangan negeri (DUN).

“Apa yang dua Adun DAP boleh buat?,” soalnya merujuk kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang juga Adun Padungan dan Adun Pending Violet Yong.

“Mereka memang tidak boleh buat apa-apa pun,” katanya.

Satu lagi kesan daripada kerjasama itu ialah ia menghasilkan satu blok politik baharu dalam GPS.

Sebelum ini, PDP hanya ada lima kerusi di DUN, jauh ketinggalan berbanding rakan kerjasamanya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang ada 47 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 13 dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) 11.

Chin berkata empat kerusi PSB, Tiong kini ada suara yang penting di sidang DUN.

Katanya, apa yang jelas daripada kerjasama itu ialah Soon Koh memastikan beliau akan masih dapat memainkan peranan lebih penting sebagai ahli tidak rasmi GPS.

Dalam reaksinya, Chong berkata beliau tidak terkejut “PSB kini mohon untuk menyertai semula GPS”.

Katanya, beliau bercakap tentang perkara itu sebelum beberapa kali tetapi tidak menjangka ia terjadi dalam masa terdekat – hanya selepas satu PRN sebagai parti pembangkang.

“Ramalan saya tentang PSB kini jadi nyata. Dari awal lagi, saya beri amaran tentang agenda PSB sebagai pembangkang pada PRN 2021.

“Sekarang PSB sudah mohon untuk masuk semula GPS, jelas kepada semua rakyat Sarawak, PSB hanya cabang GPS dan akhirnya akan kembali kepada GPS,” katanya.

Beliau berkata DAP akan kekal sebagai pembangkang di DUN untuk memberikan semak dan imbang yang diperlukan untuk melindungi kepentingan rakyat Sarawak dan terus bersuara menentang salah laku dalam kerajaan GPS. – 15 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen