Muda tanding solo kerana Pakatan langgar janji, kata Syed Saddiq


Mohd Farhan Darwis Ravin Palanisamy

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kegagalan kerajaan perpaduan menunaikan janji reformasi antara sebab parti itu menyertai PRN secara solo. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2023.

KEGAGALAN kerajaan perpaduan menunaikan janji reformasi antara sebab Muda menyertai pilihan raya negeri (PRN) secara solo, kata presiden parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bekas menteri belia dan sukan itu mendakwa, selepas kerajaan perpaduan terbentuk, idea pembaharuan yang dicanangkan sejak 20 tahun lalu ditinggalkan begitu sahaja.

“Kami percaya agenda pembaharuan untuk Malaysia yang diperjuangkan dahulu sudah ditinggalkan.

“Adalah tidak jujur dan satu pembohongan besar, bagi rakyat Malaysia berbilang kaum apabila sejak 20 tahun lalu kamu janjikan macam-macam tetapi sekarang sudah ditinggalkan,” katanya.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu antara lain gagal melaksanakan janji perisytiharan aset para menteri dan juga untuk memperkasa Parlimen.

Selain itu, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim itu juga gagal melaksanakan janji untuk menghapuskan pemusatan kuasa kepada perdana menteri.

Malah jika kerajaan ini betul-betul inginkan pembaharuan, sudah pasti akta pendanaan politik dilaksanakan, katanya lagi dalam wawancara khas itu.

“... Semua jenis pembaharuan, dalam pendidikan, lantikan GLC tidak dijadikan untuk tujuan pentaksub-pentaksub politik tetapi lantikan berdasarkan merit dan kemampuan.

“Itulah nama Malaysia bergerak di jalan yang betul, kita akan jadi negara yang maju. Kalau itu berlaku, tidak ada sebab Muda nak bertanding, tidak ada sebab untuk saya dan pimpinan Muda kecewa,” kata Syed Saddiq.

Disebabkan itulah Muda mengambil pendirian bertanding dalam PRN walaupun menjadi sebahagian komponen daripada 19 parti membentuk kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, Muda mahu menjadi alternatif kepada rakyat untuk memilih berbanding gabungan yang telah mengecewakan mereka kerana gagal memenuhi janji.

“Cukup, Muda datang untuk menghantar isyarat kepada mereka yang berkuasa supaya tidak lagi memandang ringan terhadap pengundi.

“Mereka perlu diajar, kita perlu hantar isyarat jelas supaya lepas PRN mereka akan kembali kepada agenda pembaharuan dan mempertahankan Malaysia yang berbilang bangsa,” katanya.

Muda semalam mengumumkan empat pemimpin parti itu yang bakal bertanding dalam PRN 12 Ogos di Selangor, negeri yang bakal menyaksikan pertandingan sengit

Setiausaha agungnya Amir Abdul Hadi diumumkan sebagai calon kerusi Sri Serdang manakala seorang anggota jawatankuasa pusat Thanusha Ramanieswaran akan bertanding di Sentosa.

Dua lagi terdiri daripada Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen yang diumumkan sebagai calon Batu Tiga dan seorang lagi Melanie Ting Yi-Hlin bagi Bukit Antarabangsa. – 14 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen