Rayuan Siti Bainun terhadap sabitan dan hukuman didengar 12 Oktober


Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali didakwa mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2023.

RAYUAN Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella akan didengar pada 12 Oktober ini.

Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas berkata tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar pada prosiding pengurusan kes hari ini.

“Bagaimanapun petisyen rayuan masih belum diterima dan mahkamah menetapkan 14 September untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri yang mewakili Siti Bainun mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Pada 23 Mei lepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.

Siti Bainun, 31, diarah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi pada 3 Mei lepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Dia dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu.

Siti Bainun yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021, turut diperintah menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Tertuduh juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – Bernama, 12 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen