Sesiapa saja boleh didakwa di bawah RUU Antiberita Tidak Benar


Bede Hong

RANG Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 memberikan kerajaan lebih kuasa, termasuk bidang kuasa wilayah asingan yang membenarkan ia menahan atau mendakwa sesiapa sahaja, termasuk di luar Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan, yang menerbitkan sesuatu yang dianggap sebagai berita palsu, kata pengamal undang-undang.

Pembiaya blog atau laman web berita juga boleh didakwa, manakala permohonan mahkamah untuk menukar larangan penerbitan boleh dibuat atas alasan keselamatan negara, kata peguam.

RUU untuk mengharamkan “berita palsu” yang dibentang di Parlimen hari ini mencadangkan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun bagi pesalah.

RUU ini hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan di Dewan Rakyat. Ia kemudian akan dikemukakan di Dewan Negara untuk diluluskan, dan seterusnya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan untuk dijadikan satu undang-undang.

Para peguam melahirkan kebimbangan terhadap frasa RUU itu, khususnya dalam Seksyen 4(1) yang menyatakan “sesiapa sahaja, dengan sengaja membuat, menawar, menerbit, mencetak, mengedar atau menyebar sebarang berita palsu atau penerbitan mengandungi berita palsu, melakukan kesalahan dan boleh disabitkan, denda tidak lebih RM500,000 atau dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya sehingga RM3,000 setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan”.

“Kunci kepada pembacaan undang-undang ini ialah frasa ‘sengaja’,” kata Timbalan Ketua Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Badan Peguam Malaysia, Lim Wei Jit.

“Persoalan yang mengganggu ini ialah ‘dengan sengaja’ menurut siapa? Tertuduh berdasarkan subjek sumber bacaannya? Atau menurut sumber yang disahkan oleh kerajaan yang memerintah?”

Pada pembentangan RUU itu hari ini, kerajaan memberi beberapa contoh tentang apa yang dianggap sebagai berita palsu, antaranya ialah iklan yang menggambarkan karikatur pelabur yang berjaya dalam skim pelaburan, sedangkan pelabur itu tidak terlibat dalam skim pelaburan tersebut. – 26 Mac, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen