Dilema 2 komponen tertua BN


G Manimaran

Jika mengambil kira situasi politik semasa Malaysia, MIC dan MCA berada dalam satu kedudukan yang kukuh untuk menunjukkan kedua-dua parti itu penting demi masa depan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2023.

SEMEMANGNYA langkah terbaharu MIC dan MCA bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Dua komponen utama dan tertua Barisan Nasional (BN) ini memutuskan untuk tidak bertanding.

Ya, parti ini tidak mahu dan tidak akan bertanding pilihan raya negeri 12 Ogos.

MIC merupakan satu-satunya parti politik BN yang pernah merekodkan kemenangan 100% dalam banyak pilihan raya umum di kedua-dua peringkat negeri dan juga parlimen.

Pemimpin sebelum ini bangga dengan rekod ini. Satu pencapaian yang pernah menarik perhatian banyak pihak dalam BN dan pemerhati politik.

Ia merupakan satu rekod sehingga sebelum pilihan raya umum 2008. Pilihan raya umum 2008 mengubah dunia politik Malaysia.

Ia permulaan kepada situasi politik yang jauh berbeza sama sekali, berbeza berbanding tiga atau empat dekad lalu.

Dalam suasana politik yang kompleks dan tidak tentu arah pada hari ini, MIC dan MCA, dua daripada tiga parti politik yang mengambil langkah untuk menubuhkan Parti Perikatan (Perikatan), memutuskan untuk berundur daripada bertanding dalam satu pilihan raya umum peringkat negeri yang amat penting lagi signifikan.

Perikatan didaftarkan secara rasmi pada 30 Oktober, 1957 – dua bulan selepas merdeka, sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum yang pertama, yang diadakan dua tahun kemudian.

Disebabkan prestasi buruk dalam pilihan raya umum ketiga, tahun 1969, Perikatan dijenamakan semula sebagai BN pada 1973, dengan dianggotai oleh lebih daripada 13 parti politik, termasuk PAS, yang kini merupakan komponen Perikatan Nasional (PN) pada hari ini. Lambang kapal layar diubah menjadi dacing.

Lambang kapal layar masih segar dalam minda kebanyakan mereka yang sudah berusia.

Susulan tindakan MIC dan MCA untuk tidak bertanding kali ini, bermakna mereka hanya akan berada di luar gelanggang pilihan raya.

Ia disusuli dengan pelawaan pemimpin PAS dan PN – mengajak MIC dan MCA untuk menyertai PN bagi menghadapi pilihan raya yang akan diadakan di enam negeri pada 12 Ogos ini. Tiga daripada enam negeri itu ditadbir oleh PAS (Kedah, Kelantan dan Terengganu).

Dalam reaksi segera MIC dan MCA memutuskan untuk menolak jemputan politik PN itu. Adakah keputusan mereka ini muktamad? Atau MIC dan MCA akan kekal bersama BN selama-lamanya untuk meneruskan tradisi politik lebih 60 tahun?

Sehingga kini belum jelas sebab kukuh yang membawa kepada keputusan MIC dan MCA untuk tidak bertanding bersama Umno, salah lagi parti komponen BN, untuk bersaing di enam buah negeri.

Selama ini Umno dianggap sebagai parti utama atau parti dominan dalam BN. Umno pernah dianggap sebagai abang besar kepada parti komponen BN yang lain.

Hanya satu komponen parti politik BN sahaja, iaitu Umno yang akan bertanding. MIC dan MCA tidak bertanding tetapi akan menyokong BN. Sebuah lagi parti komponen BN merupakan parti berasaskan politik Sabah, iaitu PBRS.

Bermakna jika MIC dan MCA kekal untuk tidak mengkaji semula pendirian mereka, BN hanya akan diwakili oleh Umno di enam negeri. Hanya Umno yang akan membawa bendera atau logo BN.

BN juga tidak akan bertanding di semua 245 kerusi yang ditawarkan. Hanya 45% sahaja, sebagaimana diumumkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

MIC tidak meletakkan calon di Kelantan dan Terengganu. MCA ada beberapa kerusi yang ditawarkan oleh bertanding di kedua-dua negeri itu.

Sebagaimana saya sebutkan di peringkat awal, keputusan yang diambil oleh MIC dan MCA bukanlah sesuatu yang luar biasa dan mengejutkan.

Melihat kepada siri perkembangan politik dalaman BN sejak dua tahun yang lalu, terutama sejak PN dibentuk pada tahun 2020, sudah ada gambaran kasar yang awal, kedua-dua parti politik itu akan bergerak ke arah itu.

Keadaan itu juga menggambarkan MIC dan MCA kecewa dengan gaya kepimpinan BN pada hari ini.  Mereka mahu menghantar satu mesej yang tegas dan keras kepada kepimpinan BN.

MIC dan MCA tidak mahu sikap abang besar Umno berkekalan. Sikap dingin antara kedua-dua parti itu dan pemimpin Umno bukan satu rahsia. Banyak perkembangan mencerminkan sikap tidak mesra yang sebenar pada hari ini.

Persoalan seterusnya: Adakah kedua-dua MIC dan MCA telah memberikan penjelasan yang mendalam kepada ahli-ahli mereka tentang mereka langkah memutuskan untuk tidak bertanding kali ini? Penjelasan teras belum cukup, belum mendalam setakat ini.

Sekali lagi, tidak mahu bertanding tetapi akan memberikan sokongan kepada BN, yang akan bertanding dalam satu gandingan bersama Pakatan Harapan (PH). Pendirian yang sukar untuk diterima kerana tidak ada asas yang kukuh mengapa tidak mahu bertanding.

MCA pernah memutuskan untuk tidak menganggotai Jemaah Menteri susulan keputusan pilihan raya umum 2013. Keputusan itu berubah dalam tahun berikutnya.

Bagaimanapun, pada kali ini ia mengambil pendirian berbeza yang jauh berbeza, iaitu tidak mahu bertanding.

Dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang diadakan pada tahun 2018, tahun BN telah kehilangan kuasa kerajaan pusat, BN memutuskan untuk tidak mahu bertanding pilihan raya kecil itu.

Sebaliknya, MCA memutuskan untuk bertanding dengan menggunakan lambang MCA, bukannya BN.

Pada hari ini kita melihat BN berada dalam dilema yang cukup besar.

Jika mengambil kira situasi politik semasa Malaysia, MIC dan MCA berada dalam satu kedudukan yang kukuh untuk menunjukkan kedua-dua parti itu penting demi masa depan BN.

Banyak perkembangan berlaku sejak lima tahun lalu. Banyak gabungan baharu lahir sebagaimana disaksikan pada November lalu. Pastinya, landskap politik Malaysia akan terus berubah dalam lima hingga 10 tahun akan datang.

MIC dan MCA perlu bersedia untuk berubah untuk menerima situasi baharu politik. Tindakan tidak bertanding bukan satu keputusan bijak dan baik demi masa depan mereka dan komuniti mereka wakili.

Adalah lebih baik bagi MIC dan MCA keluar daripada BN untuk menunjukkan kuasa politik mereka. Bukannya mengambil tindakan singkat yang tidak menguntungkan.

Kedua-dua MIC dan MCA nampaknya tiada pilihan kecuali membuat pendirian lebih konkrit selaku parti politik pengasas Perikatan. Antaranya mahu kekal dalam BN atau sebaliknya.

Hanya pendirian konkrit yang akan memandu kedua-dua parti itu ke hadapan dalam arus politik negara.

Mereka juga perlu menyusun strategi politik baharu yang sesuai dengan keperluan semasa demi ahli dan komuniti mereka wakili serta negara secara makro.

Survival parti dan pendirian yang lebih kukuh adalah penting bagi parti ini. – 10 Julai, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen