GPS tak akan kerjasama lagi dengan Dr Mahathir, kata Abdul Karim


Desmond Davidson

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Dr Mahathir Mohamad sepatutnya bersara terus daripada politik. – Gambar Facebook, 5 Julai 2023.

NAIB Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai “gila”.

Malah beliau percaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan bekerjasama lagi dengan Dr Mahathir, atau sesiapa sahaja yang berpendirian seperti bekas perdana menteri itu.

“Saya amat menghormati Dr Mahathir. Beliau bekas perdana menteri kita, bukan sekali, tetapi dua kali.

“Tetapi apabila beliau mengatakan Malaysia bukan negara berbilang bangsa dan kaum, saya tertanya-tanya, dia OK atau tidak?” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

Menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak itu berkata demikian ketika ditanya sama ada GPS, yang terdiri daripada PBB; Parti Rakyat Sarawak (PRS); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP), akan bekerjasama dengan Dr Mahathir dan sekutunya.

“Macam mana hendak bekerjasama dengan orang seperti itu apabila kenyataan yang dikeluarkan tidak elok untuk majoriti rakyat Malaysia?” soal beliau.

Kata Karim lagi, Dr Mahathir sepatutnya bersara terus daripada politik dan dikenang sebagai seorang negarawan yang disegani selepas meletak jawatan perdana menteri ketika krisis politik yang dicetuskan oleh Langkah Sheraton pada Februari 2020.

“Beliau sepatutnya bersara terus.” – 5 Julai 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen