Permohonan Rosmah tangguh prosiding rayuan kes solar didengar Jumaat


Rosmah Mansor didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai 2023.

PERMOHONAN Rosmah Mansor untuk menangguhkan prosiding rayuan kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak akan didengar Jumaat ini.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata pihaknya menghantar surat kepada mahkamah bulan lepas bagi memaklumkan mengenai penangguhan prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan itu.

“Mahkamah menetapkan Jumaat ini (7 Julai) untuk mendengar permohonan berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sepatutnya rayuan Rosmah terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah itu akan didengar selama empat hari bermula 11 Julai.

Menurut Akberdin pihaknya memohon penangguhan bagi membolehkan rayuan Rosmah berhubung pelantikan mendiang Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan diputuskan terlebih dahulu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 22 Jun Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah solar itu.

Pada 1 September tahun lepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. – Bernama, 4 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen