Rayuan kes rasuah projek solar Rosmah dijadual semula 11 Julai


Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah Mansor bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari 2023.

PENDENGARAN rayuan Rosmah Mansor di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dijadualkan semula pada 11 Julai depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron menetapkan empat hari dari 11 hingga 14 Julai untuk mendengar rayuan itu semasa pengurusan kes hari ini.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan mewakili pendakwaan manakala Rosmah diwakili peguam Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang mengesahkan tarikh itu kepada media berkata tarikh pendengaran rayuan pada 22 dan 23 Jun yang sebelum ini ditetapkan pada 19 Disember lepas telah dilapangkan.

Beliau berkata pihak-pihak dalam rayuan itu diarahkan untuk memfailkan penghujahan masing-masing pada 9 Jun dan penghujahan balas pada 23 Jun.

Pengurusan kes akhir bagi rayuan itu ditetapkan pada 4 Julai, kata Poh.

Pada 1 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 71, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Rosmah, hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Beliau juga didenda RM970 juta atau penjara 10 tahun.

Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – Bernama, 6 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen