KEADAAN kesihatan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan semakin stabil hari ini, menurut laporan Sinar Harian.
Naib Presiden PAS Amar Nik Abdullah dipetik berkata yang Hadi sudah dipindahkan ke wad biasa dari unit rawatan rapi jantung (CCU).
“Hari ini keadaan beliau semakin baik dan sudah dipindahkan ke wad biasa.
“Beliau bagaimanapun masih lagi dalam rawatan dan pemerhatian doktor,” katanya.
Amar menambah yang tiada pelawat dibenarkan masuk bagi membolehkan Hadi pulih secepat mungkin.
“Semua tidak melawat, biarlah beliau rehat betul-betul dan kita doakan semoga beliau cepat sembuh,” katanya lagi.
Dilaporkan sebelum ini yang beberapa program melibatkan Hadi ditangguhkan selepas tahap kesihatannya merosot sebelum Hari Raya Aidiladha.
Program terakhir dihadiri presiden parti Islam terbesar di Malaysia itu adalah merasmikan jentera pilihan raya Dewan Pemuda PAS di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang, pada Rabu lepas.
Pada program itu, Hadi kelihatan lemah dan tidak sihat walaupun beliau sempat merasmikan acara itu.
Semalam, anak lelaki Hadi, Muhammad Khalil menerusi catatan di Facebook memaklumkan yang bapanya dimasukkan ke hospital pada Khamis.
Pada Februari lepas, Hadi dimasukkan ke Hospital Putrajaya kerana kesukaran bernafas sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut.
Khalil semalam bagaimanapun tidak mendedahkan nama hospital Hadi sedang dirawat bagi mengelak lawatan orang awam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman turut berkongsi yang kesihatan Hadi semakin pulih dan sedang dipantau.
Syahir yang juga setiausaha politik Hadi berkongsi perkembangan terbaru itu di Instagramnya. – 2 Julai, 2023.
Komen