Tolak Perikatan untuk lindungi kedaulatan Pulau Pinang, kata Guan Eng


Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata pengundi perlu mengundi menentang Perikatan Nasional pada PRN bagi melindungi kedaulatan negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2023.

PENGUNDI Pulau Pinang mesti mengundi menentang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana undi untuk gabungan itu adalah undi untuk memusnahkan Pulau Pinang, kata bekas ketua menteri Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan ahli Parlimen Bagan itu berkata rakyat Pulau Pinang perlu mengundi tadbir urus yang baik dan menjalani kehidupan yang lebih baik serta mempertahankan, melindungi dan memelihara kedaulatan Pulau Pinang.

“Rakyat Pulau Pinang harus menggunakan pilihan raya negeri yang akan datang di Pulau Pinang untuk mendedahkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebagai unsur subversif yang ingin menggugat Perlembagaan Persekutuan serta bahaya yang jelas dan nyata kepada keamanan, keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.

“Daripada berulang kali menggalakkan “keganasan” dengan menyamakan usaha menawan Pulau Pinang dengan penaklukan Constantinople oleh umat Islam hampir 600 tahun lepas dan hadirin dalam ceramah saya di Alor Setar sebagai Muhammad al-Fateh, sultan empayar Turki Usmaniah yang menakluk Constantinople, kubu kuat empayar musuh Byzantine. Sanusi memilih untuk membuat serangan peribadi terhadap saya, ” kata Lim.

Pada 25 Jun akhbar Harian Metro memetik Sanusi memberitahu penyokongnya bahawa Pulau Pinang mesti ditebus semula dengan cara Muhammad al-Fateh menakluk Constantinople daripada Empayar Byzantine.

Sanusi menggunakan analogi ini pada 24 Jun semasa berucap di perhimpunan Berselawat Kedah untuk menunjukkan keperluan Pulau Pinang ditebus semula bagi “mengembalikan kegemilangan Kedah” supaya rakyat Kedah tidak lagi ditindas dan dipandang rendah.

Tidak berpuas hati, Adun Jeneri itu sekali lagi mengambil kesempatan terhadap Lim dengan mengimbau kembali ketika bekas ketua menteri Pulau Pinang itu menyamakan dirinya sebagai Khalifah Umar Abd Aziz. 

“Penggunaan Sanusi imej seperti perang atau metafora yang ganas atau mengancam dalam usahanya yang tidak berakal untuk ‘memulangkan’ Pulau Pinang ke Kedah mendedahkan kesediaannya berdepan risiko perpecahan dan mewujudkan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya 1.8 juta rakyat Pulau Pinang.

“Walaupun tiada siapa yang mempersoalkan fakta Pulau Pinang pernah menjadi sebahagian daripada Kedah, ahli sejarah dan pakar perlembagaan mengesahkan Majlis Raja-Raja termasuk sultan Kedah dan Perlembagaan Persekutuan mengesahkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat di Malaysia.

“Malah Sanusi membuat cadangan menghasut, menyalahi undang-undang dan menghasut untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memadamkan Pulau Pinang.

“Sementara kita menunggu hasil siasatan polis terhadap Sanusi untuk kenyataan tidak bertanggungjawab itu, 1.8 juta rakyat Pulau Pinang mesti menghantar mesej yang lantang dan jelas untuk menyokong kerajaan perpaduan dan mengundi menentang PN untuk memelihara gaya hidup kita dan melindungi kedaulatan Pulau Pinang.” – 30 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen