Pengundi senyap jadi penentu di Terengganu


Zulkifli Sulong

Markas PAS di UPU Pengadang Baru sudah dibuka walaupun tarikh pilihan raya masih menjadi tanda tanya. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Mac, 2018.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin yakin bahawa sikap pengundi senyap di negeri itu akan menjadi faktor penentu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu berkata perkara itu semakin kuat dirasai apabila tersebar rakaman audio mengenai dakwaan kerjasama PAS dengan Umno.

“Sejak enam bulan lalu inilah yang saya kesan berlaku di Terengganu, pengundi senyap. Penyokong dan ahli PAS datang kepada saya secara senyap-senyap dan berjanji akan memberikan undi.

“Sejak tersebarnya audio Nik Abduh, ia semakin meyakinkan saya,” katanya. 

Beliau merujuk kepada audio pengakuan yang didakwa suara AJK PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang mengaku parti Islam itu bekerjasama dengan Umno dan juga menerima wang dari parti pemerintah itu.

PAS hampir dapat merampas Terengganu kembali dalam PRU 13 lalu, selepas tewas pada PRU11 lalu, apabila mendapat 14 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri di Terengganu.

PAS berusaha untuk merampas negeri kali ini dengan membuat persiapan paling awal menjelang PRU14.

Salah satu daripada usaha tersebut adalah dengan mengadakan solat munajat khas pada jam 4.30 pagi untuk memohon kemenangan PAS dalam PRU 14.

Solat munajat yang dihadiri ribuan penyokong PAS itu itu diadakan di Masjid Rusila, masjid yang dikuasai parti tersebut melalui presidennya Abdul Hadi Awang.

Majlis itu merupakan sebahagian dari Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.8), himpunan terakhir PAS menjelang PRU 14 di Terengganu. 

Walau tarikh pembubaran parlimen masih menjadi tanda tanya, PAS juga telah membuka bilik gerakan pilihan raya di peringkat terbawah iaitu Unit Peti Undi (UPU) unit yang paling rapat dengan akar umbi atau pengundi.

Malam tadi, Markas PRU14 UPU Pengadang Baru dalam DUN Alor Limbat di Parlimen Marang dibuka dengan rasminya oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Kamaruzaman Mohamad.

Turut berucap ialah pengarah pilihan raya PAS Terengganu yang juga ADUN Alor Limbat, Ariffin Deraman.

Kedua-duanya menceritakan kembali satu persatu tawaran atau manifesto PAS di Terengganu yang dirangka oleh golongan profesional dalam PAS sejak lebih setahun lalu.

Namun PAS berpecah pada 2015 sehingga terbentuk Amanah yang kemudiannya membentuk PH bersama PKR, DAP dan Bersatu.

Gabungan parti itu menjadi saingan baru kepada PAS selain Umno dan Barisan Nasional yang merupakan musuh tradisi parti itu.

Raja Kamarul Bahrin mengaku, pada peringkat awal penubuhan Amanah hujung 2015 lalu, beliau mendapat pelbagai serangan dan cercaan dari penyokong PAS.

Namun, kira-kira setahun lalu ia sudah sangat berkurangan dan enam bulan lalu, mereka mula mendekati beliau, katanya.

“Saya yakin mereka mula faham kenapa Amanah ditubuhkan. Mereka secara senyap-senyap nyatakan sokongan kepada saya.

“Saya rasa macam masih dalam PAS apabila semua mereka mendekati saya secara senyap-senyap. 

“Saya faham, mereka tidak mahu menyokong secara terbuka kerana tidak mahu mendedahkan diri kepada serangan dari pentaksub PAS,” kata Raja Bahrin kepada The Malaysian Insight.

Raja Bahrin tidak yakin PH boleh memerintah Terengganu kali ini tetapi tegasnya, PH akan membuat penampilan pertama yang baik di negeri yang menjadi kubu PAS dan Umno ini.

“Paling kurang kita boleh menang dua atau tiga (kerusi) parlimen dan sekitar 10 hingga 14 kerusi DUN,” katanya.

Kenyataan itu berbeza dengan jangkaan INVOKE, sebuah badan kajian yang diasaskan oleh ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Badan itu menjangka, BN akan menang besar di Terengganu dalam PRU 14 nanti manakala PAS dan PH tidak akan mendapat sebarang kerusi. β€“ 25 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • BN satu-satunya parti yang kukuh dan terus bersama rakyat

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan