Berkemungkinan sisa mayat manusia ditemui dalam serpihan kapal Titan, kata pakar


Gambar menunjukkan kapal selam Titan dilancarkan dari platform. – Gambar AFP/OceanGate Ekspedisi, 29 Jun 2023.

PAKAR menemui berkemungkinan “sisa mayat manusia” daripada serpihan kapal selam Titan yang meletup ketika menyelam ke bangkai kapal Titanic, kata Pengawal Pantai AS semalam.

“Para profesional perubatan Amerika Syarikat akan menjalankan analisis rasmi ke atas penemuan itu,” kata agensi itu dalam satu kenyataan selepas sebahagian daripada serpihan itu dikeluarkan di timur Kanada.

Kenyataan itu dibuat selepas serpihan hancur ditemui daripada kapal selam kecil yang musnah apabila ia meletup semasa menyelam ke atas bangkai Titanic baru-baru ini, menamatkan operasi mencari dan menyelamat yang sukar.

Imej televisyen menunjukkan apa yang kelihatan seperti kon hidung kapal Titan dan panel sisi dengan elektronik serta wayar yang tergantung diangkat dari kapal ke trak di terminal Pengawal Pantai Kanada di St John’s.

Pelagic Research, syarikat New York yang memiliki kenderaan kendalian jauh Odysseus yang digunakan dalam pencarian kapal selam malang itu berkata operasi pencarian dan menyelamat luar pesisirnya sudah selesai.

“Kami menyelesaikan (tindakan) luar pesisir kami dan pada dasarnya sedang menamatkan perkhidmatan dan akan mengembalikan aset ke pangkalan operasi di New York,” kata jurucakap syarikat Jeff Mahoney kepada AFP.

Beliau berkata pencarian dan pemulihan adalah “operasi yang sangat berisiko.”

“Ia amat membebankan dan meletihkan bagi pasukan yang bekerja sepanjang masa tanpa tidur selama 10 hari bekerja. Ia satu proses yang sangat serius,” katanya.

Titan dilaporkan hilang pada 18 Jun dan Pengawal Pantai AS pada Khamis lalu berkata kesemua lima penumpang kapal selam itu meninggal dunia selepas kapal itu mengalami letupan dahsyat.

Terdapat serpihan ditemui di dasar laut, 500m dari haluan Titanic yang terletak hampir 4km di bawah permukaan lautan dan 643.74km dari pantai Newfoundland.

Pengumuman mengenai letupan itu menamatkan pencarian dan penyelamatan multinasional yang menarik perhatian dunia sejak kapal pelancong itu hilang.

Serpihan itu kini dijangka diserahkan kepada penyiasat apabila siasatan ke atas tragedi tenggelam itu bermula di Kanada dan Amerika Syarikat. – AFP, 29 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen