MPKB pertahan tindakan kompaun wanita pakai seluar pendek


MPKB memuat naik gambar anggota penguatkuasa ketika mengeluarkan kompaun kepada wanita bukan Islam kerana berpakaian tidak sopan. – Gambar Facebook, 26 Jun, 2023.

MAJLIS Perbandaran Kota Baru (MPKB) tetap dengan keputusannya mengeluarkan kompaun kepada pemilik kedai pakaian wanita kerana berpakaian tidak sopan, lapor Sin Chew Daily.

Datuk Bandar MPKB Rosnazli Amin berkata pakaian dipakai wanita itu dalam gambar yang dimuat naik di Facebook tidak sama seperti ketika beliau dikompaun.

“Pakaian yang dipakainya ketika dikunjungi anggota penguatkuasa tidak sama.”

Beliau kemudian berkongsi gambar anggota penguatkuasa melawat butik pakaian wanita itu.

Ia menunjukkan wanita itu memakai t-shirt merah jambu bersaiz besar yang menutupi seluar pendeknya.

“Foto yang kami lihat di Facebook menunjukkan beliau memakai t-shirt dan seluar pendek. Ia berbeza dengan apa yang dipakai (semasa dikenakan kompaun),” kata Rosnazli.

Wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Lee, berkata kedainya sudah beroperasi selama lebih dua tahun, dan ini adalah kali pertama beliau menghadapi masalah sedemikian.

Beliau memberitahu akhbar berbahasa Cina memakai kemeja-T dan seluar pendek semasa bekerja di kedai setiap hari.

Beliau berkata sebelum ini pernah bekerja di kedai gunting rambut dan berpakaian sama, tetapi tidak pernah dikompaun.

“Pelanggan yang datang ke kedai saya kebanyakannya adalah wanita Cina,” katanya dipetik akhbar itu.

MPKB mengkompaunnya di bawah Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil dan Tred Perniagaan dan Perindunstrian 2019.

Menurut Sin Chew, 34(2)(b) menyatakan pemilik lesen perniagaan mesti memastikan mereka yang bekerja di premis berpakaian “sopan” atau, jika mereka beragama Islam, menutup aurat.

Sebelum ini, pihak majlis memberi amaran kepada pelayan dan kakitangan wanita kedai runcit yang mereka akan dikompaun jika memakai pakaian terdedah dan ketat.

Undang-undang kecil majlis mengenai pakaian wanita Islam dan bukan Islam daripada memakai pakaian ketat, blaus menampakkan pusat, jarang, skirt pendek dan seluar ketat.

Selain etika berpakaian, wanita Islam terikat oleh undang-undang agar memakai pakaian paras buku lali dan menutup rambut dan dahi mereka. – 26 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen