Pakatan Selangor sasar menang 51 kerusi dalam PRN


Pakatan Harapan (PH) Selangor meletakkan sasaran memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN dalam PRN yang dijangka berlangsung Ogos ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun 2023.

PAKATAN Harapan (PH) Selangor meletakkan sasaran memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya PH Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata keyakinan itu berdasarkan trek rekod cemerlang pentadbiran kerajaan negeri dalam membangunkan Selangor.

“Kita yakin pengundi nampak prestasi pentadbiran di Selangor yang menyantuni rakyat dengan pelbagai inisiatif yang membantu rakyat seperti Skim Air Darul Ehsan, Skim Perlindungan Insurans dan Takaful Percuma, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor, dan Skim Mesra Warga Emas.

“Selain itu kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) juga mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan ini serta dapat menarik lebih banyak undi,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Khas MPP PKR di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu Mohd Yahya berkata terdapat beberapa kerusi yang masih dalam peringkat rundingan antaranya Gombak Setia dan Kota Damansara.

“Kita jangka rundingan akan selesai dalam masa terdekat. Ia sudah berada di peringkat rundingan antara presiden-presiden parti kerana di peringkat kami, jawatankuasa perundingan parti, ia telah selesai,” katanya.

Terdahulu Mohd Yahya berkata mesyuarat selama sejam setengah yang dipengerusikan Presiden Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Timbalan Presiden Rafizi Ramli, Naib-naib Presiden dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan Jumaat lepas dan dengan pembubaran itu pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada PRU-14 PH mendominasi memenangi 51 daripada 56 kerusi diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi DUN Batang Kali diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan. – Bernama, 25 Jun 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen