Bekas pelajar kolej sebabkan kematian bayi terlepas hukuman mati


SEORANG bekas penuntut kolej yang sebelum ini dihukum mati kerana melemaskan bayi lelaki yang baru dilahirkannya di dalam mangkuk tandas asrama enam tahun lepas menangis apabila dibebaskan serta-merta oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi Nur Izzati Adi, 26, yang memohon pertuduhan lebih ringan iaitu daripada membunuh kepada menyebabkan kematian.

Nur Izzati kemudian mengaku bersalah dan panel itu menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadapnya yang bermula dari tarikh tangkap iaitu 30 Mac 2017.

“Perayu dibebaskan serta-merta hari ini dan saya arahkan warden penjara untuk membuka gari perayu dan perayu boleh berjalan keluar dari mahkamah dengan lapang dada,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Azman Abdullah dan Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 10 April 2017, Nur Izzati didakwa membunuh mangsa di tandas asrama perempuan aras tiga Kolej Pertanian Malaysia Bukit Kayu Hitam pada 5.20 petang 30 Mac 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar berkata AGC telah menawarkan pertuduhan di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaaan dan boleh dihukum mengikut Sekyen 309B kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda kepada Nur Izzati.

Peguam Amirul Ridzuan Hanif, yang mewakili tertuduh, mengesahkan perkara itu dan mencadangkan hukuman penjara sembilan tahun bermula dari tarikh Nur Izzati ditangkap.

Mohammed Mokhzani Faris tidak membantah tempoh hukuman penjara itu.

Selepas prosiding, Nur Izzati yang sebelum ini ditahan di Penjara Pokok Sena dilihat berpelukan dengan ahli keluarganya.

Pada 14 Jun 2020, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati selepas Nur Izzati didapati bersalah membunuh bayi lelaki berkenaan.

Dia kemudian mengemukakan representasi kepada AGC pada 11 April lepas bagi meringankan hukuman terhadapnya. – Bernama, 20 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen