Naik kapal haji


Faisal Tehrani

Kapal haji Malaysia Kita antara kapal yang terbakar di pelabuhan pada tahun 1974. – Gambar dari Faisal Tehrani, 20 Jun, 2023.

BANYAK tahun dahulu saya difahamkan oleh ibu yang arwah moyang kami Puan Hawa Binti Dali pernah naik haji dalam tahun-tahun 1920an. “Naik kapal haji”, kata ibu.

Tidak banyak yang ibu ingati kerana dia pun masih kecil, tetapi kata ibu; setelah arwah Puan (gelaran kami di Naning untuk induk) selamat pulang, dia membawa air zamzam dalam tin yang serasa minyak tanah. 

Tentu sahaja gemulah Puan kami itu orang berada kerana boleh tiba ke Mekah dalam tahun-tahun penuh kegetiran serba-serbi itu.

Jika Puan naik haji dalam tahun 1920-an, terdapat rekod jemaah haji Malaysia pernah mencapai 12 ribu orang.

Beliau tergolong dalam angka yang bertuah itu. Untuk saya yang mendengar kisah kapal haji daripada ibu, meskipun saya berkesempatan bertemu arwah Puan ketika anak-anak, ia sungguh mencengangkan.

Hari ini, saya berusaha membayangkan kembali bagaimana rupanya naik kapal haji. Minggu-minggu sebelumnya saya telah pun menulis perihal Hang Tuah naik haji, Munshi Abdullah naik haji dan orang putih mualaf bernama David Chale dari Sarawak yang ikut mengerjakan haji.

Akan tetapi bagaimanakah situasi sebenar naik kapal haji itu?

Jika pesawat atau kapal terbang sudah wujud, maka mengapakah jemaah haji kita masih naik kapal sehingga lewat tahun 1970-an? 

Syarikat penerbangan dari Barat ke Asia Tenggara telah pun ada seawal tahun 1935 iaitu pesawat milik Belanda.

Penerbangan dari Amsterdam dengan singgahan di London itu mendarat di Batavia. Jawapannya tentu terletak kerana penerbangan bukanlah pilihan utama ketika itu.

Kapal-kapal terakhir haji dari Malaysia dan Singapura adalah antara tahun-tahun 1970 ke 1976. Ia dimiliki oleh sebuah syarikat perkapalan berpangkalan di Hong Kong bernama Great Malaysia Lines.

Demikian mendebarkan naik kapal haji, sekurang-kurangnya dua buah kapal terbakar di pelabuhan pada tahun 1974 iaitu kapal Malaysia Kita dan Malaysia Raya. 

Pelayaran haji ini memakan masa berbulan-bulan lamanya. Dalam tahun 1970-an kapal paling canggih pun mengambil masa lebih dua minggu untuk tiba di Jeddah setelah belayar dari Pelabuhan Kelang atau Pulau Pinang.

Ada sebuah buku berjudul “Kapal Haji” (2019) yang dikelolakan oleh Anthony Green dan Mohd Raman Daud memberi gambaran kecil seperti apa rasanya naik haji dengan kapal. 

Menurut kajian mereka, kapal-kapal yang membawa jemaah haji sehingga tahun 1953 (kecuali dalam tahun 1930an) iaitu setelah munculnya Syarikat Perkapalan China Navigation, kebanyakannya adalah kapal kargo dan bukanlah kapal penumpang. 

Makanya kita harus membayangkan naik kapal haji itu bukannya seperti sebuah kruiser mewah atau pelayaran indah dengan kenangan manis.

Secara ekonominya, terdapat banyak pihak yang memeras dan beroleh untung dari pelayaran haji ini. Misalnya, pemilik atau penyewa kapal iaitu golongan Arab Hadhrami, syarikat perkapalan, dan para syeikh haji atau ejen.

Pertamanya yang perlu kita ketahui adalah dalam tahun 1960an-1970an sudah ada kursus untuk jemaah haji.  Bahkan ada kursus haji ini memakan masa sehingga dua tahun. Bahkan oleh berbulan-bulan lamanya pelayaran haji, mereka masih berkursus di atas kapal dan terdapat perpustakaan untuk merujuk dalam kapal Anshun dan Kuala Lumpur pada tahun 1965.

Pada tahun 1973, harga pakej haji dengan kapal Malaysia Kita yang terkenal itu adalah dua ribu dolar Singapura. Ia dibayar kepada syeikh haji perempuan iaitu di Singapura - Hajah Maimunah - dan di Mekah - Nafisa Nawawi - seorang Arab yang suaminya orang Melayu bernama Haji Mat Top. 

Beliau, Mat Top adalah antara komuniti Jawi Mekah atau orang Melayu yang menetap lama di Hijaz atau Arab Saudi dan identiti Melayunya sudah agak terhakis.

Buat mereka yang berkemampuan untuk mendapatkan kursus haji, ia dianjurkan antara lain di Jalan Labu, Singapura oleh Ustaz Osman Jantan. 

Apa yang menjadikan kursus ini begitu lama adalah kerana terdapatnya ramai jemaah tidak pun tahu membaca al-Quran. 

Dalam tahun 1970-an itu jemaah yang sudah terlajak usia untuk belajar membaca al-Quran itu hanya diajar zikir-zikir mudah.

Oleh kerana kebanyakan mereka buta huruf dan tidak dapat membaca, kamar atau dek di kapal yang besar itu dilukiskan dengan gambar buah-buahan tempatan seperti manggis, durian dan rambutan.

Jika mereka tersesat, cukup dengan memberitahu kepada anak kapal yang mereka berasal dari ‘kampung durian’ untuk dihantar pulang. 

Bilik-bilik dalam kapal itu pula dikatakan gelap dan hangat. Mereka malah belayar sebelum atau ketika bulan Ramadan dan membawa sama bekalan makanan untuk dimasak, termasuklah peralatan dapur seperti batu lesung.

Terdapat cabaran luar biasa untuk ke Pelabuhan Singapura. Dalam tahun 1964 misalnya, jemaah haji dari Kelantan perlu menempuh perjalanan darat yang sulit, dan perlu diingat ketika itu tiada jalan raya yang elok selain banyak sungai belum dijambatani. 

Terdapat jemaah haji seperti Che Mek Osman yang berusia 101 tahun dalam tahun 1963 yang meninggal dunia dalam perjalanan.

Dalam tahun-tahun 1920-an, cabaran naik kapal haji bukan sekadar tambangnya yang mahal, tetapi juga kerana terdapat kekacauan di Hijaz ekoran perang antara Bani Saud dan Turki Othmaniyyah yang belum betul-betul selesai. Terdapat juga masalah apabila harga getah jatuh dalam tahun 1925 dan 1929.

Bukan itu sahaja, setibanya di Hijaz, kebanyakan jemaah haji dirompak disamun oleh Badwi sehingga sehelai sepinggang bahkan ada yang dibiar bertelanjang. Kecurian wang di pelabuhan dan dalam kapal selalu berlaku. Lain dari itu beg yang dibawa juga sering hilang, keciciran dan tertukar.

Lebih menggerunkan adalah pelayaran lama di dalam kapal, yang menyinggah di pelbagai pelabuhan berpotensi membawa dan menyebar penyakit. 

Misalnya pelayaran haji pada tahun 1817 dan 1893 yang perlu berhenti di Bombay, dan Zanzibar terpaksa berdepan dengan wabak khusus dalam kapal Friends dan Sawoodbun. 

Ada kapal yang tidak dibenarkan terus belayar lantaran dibimbangi menyebar penyakit.

Dalam tahun 1927 misalnya kapal dari Malaysia dan Singapura akan ditahan di Pulau Kamaran untuk kuarantin dan itu merupakan destinasi pelabuhan terakhir sebelum dibenarkan masuk Jeddah. 

Jemaah haji dari Indonesia yang ketika itu dijajah Belanda pula agak beruntung kerana mereka sudah mendapat pelalian kolera, penyakit yang paling mengancam.

Hari ini, kisah pelayaran naik haji hanyalah tinggal satu cerita. Agak malang sekali ramai datuk nenek kita itu buta huruf dan gagal merekod apa yang sebetulnya berlaku ketika pelayaran haji.

Tinggallah kita agak berteka-teki bagaimana rasanya naik haji dengan kapal. – 20 Jun, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen