Orang putih naik haji


Faisal Tehrani

Sekitar tahun 1930-an, seseorang mualaf hanya dibenar mengerjakan haji selepas enam tahun beragama Islam. – Gambar AFP, 13 Jun 2023.

ADA sebuah travelog menarik seputar seorang lelaki Inggeris yang belum pun berusia dua puluh tahun tatkala memeluk Islam dan kemudiannya naik haji dari Sarawak.

Buku atau rakaman haji beliau itu berjudul ‘Triumphant Pilgrimage: An English Muslim’s Journey from Sarawak to Mekah’, dikarang atau diceritakan semula kepada Owen Rutter. Sukar untuk menentukan setepatnya bilakah kejadian naik haji ini berlaku, kerana tiada pentarikhan yang jelas.

Pun, dipercayai dari gambaran yang diberikan ia adalah sekitar 1930-an, boleh jadi sebelum Perang Dunia Kedua selepas pembentukan Arab Saudi.

David Chale adalah seorang lelaki Inggeris yang berusia dalam 18 tahun, dan telah ke Sarawak ketika era pemerintahan James Brooke untuk bekerja sebagai pegawai yang menjaga hal ehwal masyarakat asal Sarawak.

Untuk itu Chale perlu bergaul dengan orang Melayu dan masyarakat tempatan yang beragama Islam. Tidak lama kemudian, Chale memeluk Islam dan berusaha untuk menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan fardu haji.

Apa yang menjadikan catatan ini istimewa ialah kerana rakaman kesukaran Chale untuk beroleh ‘keizinan’ atau visa untuk menunaikan haji lantaran baru sahaja menganut Islam iaitu dalam enam minggu.

Ketika itu terdapat peraturan seseorang ‘mualaf’ hanya dibenarkan mengerjakan haji selepas enam tahun beragama Islam.

Setelah Chale memeluk Islam, beliau telah berangkat dari Sarawak, ke Singapura untuk urusan hajinya. Di sini beliau telah mengahwini seorang janda jelita bernama Munirah Abu Bakar yang kebetulan juga dari Kuching, Sarawak.

Hendak dijadikan cerita, kebetulan ini menjadi lebih mencengangkan kerana Chale memang pernah bersua dengan Munirah ketika beliau masih remaja sunti (14 tahun) yang mana bapanya adalah salah seorang tukang kebun getah keluarga Brooke.

Kalau dibaca hari ini kita akan mengatakan Chale nampaknya tertarik dengan gadis sunti bawah umur. Ini kerana diterangkan dalam buku ini Chale memang jatuh hati dengan Munirah sejak wanita itu masih anak-anak.

Perkahwinan kedua Munirah dengan Chale ini adalah setelah perkahwinan pertamanya gagal dengan seorang lelaki tua bernama Abang Gani.

Sebetulnya perkahwinan Chale dan Munirah dirancang untuk memudahkan urusan haji. Idea Chale mengahwini seorang perempuan Islam untuk menunaikan haji ini disarankan oleh rakannya bernama Muhammad Ali.

Selain dari Chale dan Munirah, terdapat pula seorang pegawai daerah Sarawak yang bernama Haji Alim, dan pasangan suami isteri yang ikut sama berusaha mendapatkan visa untuk ke Mekah. 

Chale dan Munirah menaiki kapal bernama Col de Lana dari Singapura menuju ke Mumbai. Pelayaran itu diteruskan ke Port Said. Beliau kekal berusaha mendapatkan visa ke Mekah tetapi tetap tidak berjaya dan dari situ tanpa putus asa belayar pula ke London, melalui Marseilles.

David Chale ke Sarawak ketika era pemerintahan James Brooke untuk bekerja sebagai pegawai yang menjaga hal ehwal masyarakat asal Sarawak.– 13 Jun 2023.

Dalam buku ini diperihalkan Chale ditemuduga mengenai akidahnya oleh seorang imam dan pihak imam ini memberitahu yang hanya Allah sahaja dapat membantunya untuk menunaikan haji iaitu hanya jika Tuhan menghendakinya.

Ekoran dari itu, Chale mendapatkan pertemuan dengan wakil kerajaan Saudi. Makanya dipercayai catatan Chale ini adalah selepas 23 September 1932 iaitu tarikh penubuhan Arab Saudi.

Chale menerangkan darihal dirinya yang baru memeluk Islam, dan menunjukkan dokumen sedia ada termasuk menerangkan yang dia baru bernikah dengan perempuan Islam. Penerangan Chale ini nampaknya tidak begitu diambil serius dan wakil kerajaan Saudi ketika itu hanya dapat menjanjikan beliau setakat menjejakkan kaki di Jeddah.

Dalam buku ‘Triumphant Pilgrimage’ itu juga dikemukakan bagaimana Chale berdebat dengan wakil Saudi ini, demi meyakinkan yang dirinya sudah beriman. Hempas pulas Chale akhirnya berhasil, dan wakil Saudi itu makan pujuk.

Untuk nota, Chale menyedari kerajaan baru yang menguasai Hijaz tatkala itu berteraskan wahabisme;

“Chale had read much of King In Saud and recognized him for an enlightened man. He and his fierce Wahabbis had already swept away many encrustations that had gathered like barnacles upon the ancient faith, and they had purged Arabia of bandits and robbers so that every believer might make the pilgrimage in peace and without fear of being robbed or killed. But there was much more to be done, and Chale felt that if he could but win Ibn Saud’s trust he might convince the rulers of Arabia that some departure from the strict conservatism of the past would not be against the future interests of Islam.”

Chale berikutnya berlepas dengan Munirah ke Paris dengan pesawat; menaiki kereta api ke Brindisi di Itali, naik kapal terbang lainnya ke Iskandariah, Mesir sebelum menumpang sebuah kapal laut diberi nama Telodi untuk ke Jeddah.

Chale seterusnya menceritakan kepada Owen Rutter tentang warganegara penumpang-penumpang kapal tersebut yang antara lain dari Moroko, Syria, Turki dan Mesir. Nasib Chale belum begitu baik lantaran kekecohan yang ditimbulkan oleh jemaah haji dari Afghanistan di pelabuhan Yambu.

Jumlah mereka adalah dalam 50 orang. Oleh sebab pentadbiran haji baru berubah kerana adanya kerajaan baharu, jemaah haji dilarang berjalan kaki dari Jeddah-Mekah ke Madinah. Mereka diwajibkan menggunakan perkhidmatan unta atau motokar.

Akan tetapi mungkin kerana tidak cukup wang jemaah haji Afghanistan ini berdegil. Amir Yambu telah memaksa semua mereka (termasuk Chale dan Munirah yang tidak berkait) untuk kembali ke kapal dan tidak dibenarkan turun.

Bahkan Amir Yambu mendapatkan bantuan rajanya, dan lantaran itu seorang ketua kabilah Arab dan empat orang polis dihantar untuk mematahkan keengganan jemaah haji Afghanistan ini. Malang sekali pergaduhan berlaku dan kumpulan Afganistan itu membunuh pihak berkuasa yang dihantar. Mereka kemudian bertegas untuk berjalan kaki ke Madinah.

Akibatnya 100 hamba Habsyi diutuskan dengan menggunakan senjata untuk menangkap mereka. Jemaah haji Afghanistan ini dipenjarakan sebaik tiba di Jeddah.

Disebabkan kekecohan di atas, Chale dan isterinya diperiksa berlebihan oleh pihak berkuasa dan sekali lagi akidahnya diperiksa dengan teliti. Chale dan Munirah diperintahkan tinggal di Jeddah sementara. Tidak berputus asa, Chale menghadap Amir Jeddah untuk beroleh kebenaran ke Mekah bagi menunaikan fardu Haji.

Nasib Chale baik sekali kerana Amir Jeddah meyakini keislaman beliau, dan Chale berjaya beroleh seorang syeikh haji iaitu Syeikh Abdul Rahman Gentan yang tersohor. Gentan membantukan Chale bertemu Amir Faisal Amir iaitu gabenor Mekah yang kebetulan datang ke Jeddah. Amir Faisal segera berhubung dengan ayahandanya al-Malik Ibni Su’ud yang juga ada di Jeddah.

Pertemuan tersebut membuahkan hasil. Chale dan pasangan berjaya mendapat kebenaran naik ke Mekah bagi menunaikan fardu Haji dan menziarahi Masjid Nabawi dan Maqam Rasulullah.

Ada banyak kisah lain dalam buku pengalaman Chale ini. Ternyata tidak banyak beza dengan pengalaman haji yang lain. Misalnya memang sulit sekali untuk mendekati Hajarul Aswad untuk dikucupi. Cerita Chale pada tahun 1930-an mengesahkan kenyataan ini:

“As Chale and Munirah approached the stone the tide of pilgrims moved faster, and the crush became greater. Then came a rush as each strove to thrust his way to the stone. Beside it stood a Wahabbi policeman, armed with a stick with which he did not hesitate to belabour those who, having kissed the stone, would not withdraw their lips from it, religious ecstasy making them oblivious to exhortations and even to a smart crack upon the head.”

Di bahagian akhir buku dikisahkan juga bagaimana Chale dan Munirah dirai oleh Tuan Haji Abdul Majid, pesuruhjaya haji Malaya di Mekah yang pertama.

Di sini Chale memuji-muji fungsi dan peranan pesuruhjaya haji Malaya itu. Ada banyak lagi rakaman menarik Chale dalam buku ini. Yang penting ia memberikan gambaran kepada kita bagaimana rasa dan rupanya naik haji ketika pemerintahan awal Wahhabi di Hijaz.

Apabila dipelawa ke rumah bangsawan Wahabi, Chale misalnya menceritakan pengalaman melihat hamba abdi aristokrat Arab dari kalangan orang Habsyah dan Yemen.

Untuk pengetahuan, perhambaan hanya berakhir di Arab Saudi secara rasmi pada tahun 1962, meskipun ada khabar angin ia tetap berterusan untuk satu tempoh lagi.

Tidak banyak maklumat diperolehi apa berlaku kepada Chale, dan tentu sahaja isterinya Munirah selepas itu. – 13 Jun 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen