Sunak gesa pelabur sokong pembangunan semula Ukraine 


Perdana Menteri Britain Rishi Sunak menyeru pelabur dan perniagaan pada sidang kemuncak di London minggu depan menyokong pemulihan Ukraine. – Gambar EPA, 18 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Britain Rishi Sunak akan menyeru pelabur dan perniagaan pada sidang kemuncak di London minggu depan untuk memberi sokongan bagi memulihkan negara Ukraine.

Sunak akan menggunakan Persidangan Pemulihan Ukraine Antarabangsa 2023 untuk menggesa sektor swasta menjadikan negara yang dilanda perang itu “lebih kukuh dari segi kewangan” dan “maju dari segi teknologi”, kata pejabat perdana menteri.

Lebih 1,000 orang kenamaan asing dari 61 negara bersama ketua perniagaan dan pelabur global akan menyertai Sunak di London pada Rabu.

Sidang kemuncak dua hari itu, yang dianjurkan bersama oleh UK dan Ukraine, bertujuan membuka potensi sektor swasta untuk membantu membina semula Ukraine.

Sidang kemuncak tahunan terakhir seumpamanya diadakan di Lugano di Switzerland Julai tahun lalu.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky akan hadir secara maya dan kedua-dua Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Setiausaha Negara AS Antony Blinken juga dijangka berucap dalam sesi pembukaan. – AFP, 18 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen